KUCHING: Malaysia akan memperkukuh kerjasama dengan negara pengeluar lada hitam terbesar dunia dalam usaha melonjakkan lagi harga komoditi itu daripada lingkungan RM8 sekilogram pada masa ini, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin (gambar).
Beliau berkata, Vietnam merupakan pengeluar lada hitam terbesar dunia ketika ini, diikuti Brazil, Indonesia dan India manakala Malaysia berada di kedudukan kelima di hadapan Kemboja dan Sri Lanka.
“Kita ada sasaran bagi meningkatkan harga lada hitam kepada sekurang-kurangnya lebih RM10 sekilogram, tetapi usaha itu perlu dibuat oleh setiap negara pengeluar, tidak bergantung kepada Malaysia sahaja,” katanya selepas merasmikan penutupan Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada 2020 di sini, semalam.
Beliau berkata, keengganan Brazil untuk menyertai Komuniti Lada Antarabangsa (IPC) menjadi antara faktor yang menyebabkan harga komoditi itu agak rendah memandangkan negara tersebut membuat pengeluaran yang tidak mengikut pendirian IPC.
“Negara kita mengamalkan dasar berbincang dengan negara yang menyertai IPC untuk bersama-sama mengawal pengeluaran dan seterusnya meningkatkan lagi harga komoditi ini, yang rendah di pasaran dunia ketika ini,” katanya.
Selain itu, Willie berkata terdapat kira-kira 30,000 pekebun kecil lada di Malaysia yang mengusahakan kawasan tanaman seluas 7,000 hektar dan mengeluarkan keseluruhan sebanyak 34,000 tan lada tahun lepas.
Beliau berkata daripada keseluruhan pengeluaran itu, 98 peratus adalah dari Sarawak.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasarkan pekebun terbabit dapat mengeluarkan sehingga 40,000 tan lada bagi 2020 dan setakat ini mereka telah mencatatkan kira-kira 30,000 tan, katanya.- Bernama