

MIRI: Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man mengambil maklum situasi banjir yang sedang melanda beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini susulan hujan berterusan sejak kebelakangan ini.
Menurut beliau, maklumat terperinci sedang diperoleh daripada agensi-agensi berkaitan bagi menilai tahap kesan banjir, jumlah penduduk terlibat serta keperluan bantuan yang diperlukan di lapangan.
“Dalam masa yang sama, saya telah meminta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) supaya memantau secara rapi kawasan lereng bukit yang berisiko bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa penduduk di kawasan terjejas agar sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Chiew berkata, sebarang perkembangan berkaitan situasi banjir akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa setelah maklumat lengkap diperoleh.
Bagi memudahkan urusan maklumat dan bantuan kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Operasi Bahagian Miri di talian 085-416625, 085-322737 atau 019-7311982.
Selain itu, Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Miri turut mengaktifkan Hotline Banjir bagi membolehkan penduduk yang terkesan menyalurkan maklumat berhubung kawasan terjejas serta mangsa banjir melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-852 0946.
Oleh Liong Chai Ling