
BATU KAWA: Petronas menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.3 juta bagi membekalkan peralatan perubatan dan bukan perubatan asas kepada 26 klinik kesihatan luar bandar di seluruh Sarawak.
Inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada komuniti setempat, khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan sokongan kemudahan dan peralatan asas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen bersama sektor awam dan korporat dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan, khususnya di peringkat penjagaan kesihatan primer.
Menurut beliau, penyerahan sumbangan tersebut bukan sekadar bersifat simbolik, sebaliknya memberi impak langsung terhadap kecekapan operasi fasiliti kesihatan serta keupayaan petugas barisan hadapan dalam menyediakan rawatan yang lebih berkesan kepada pesakit.
“Petronas telah menunjukkan kepimpinan yang konsisten dalam memacu kesejahteraan komuniti melalui pelbagai program impak sosialnya, khususnya di Sarawak.
“Kerjasama strategik dengan Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) ini mengukuhkan lagi komitmen Petronas dalam mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Keperluan Perubatan Asas Petronas Memacu Kehidupan di Klinik Kesihatan Batu Kawa, di sini, hari ini.
Dr. Sim turut menegaskan bahawa sistem kesihatan yang berdaya tahan merupakan asas kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan sesebuah negeri, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai tonggak utama agenda pembangunan jangka panjang Sarawak.
“Kerajaan Sarawak kekal komited memastikan akses saksama kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, khususnya bagi komuniti luar bandar dan kawasan kurang mendapat liputan. Setiap rakyat Sarawak berhak menerima penjagaan kesihatan yang cekap dan berkualiti tanpa mengira lokasi,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, peralatan perubatan dan bukan perubatan bernilai RM50,621 diserahkan kepada Klinik Kesihatan Batu Kawa, antaranya otoskop, doppler vaskular, mesin tekanan darah, stetoskop, peralatan terapi ultrasound, serta kelengkapan pejabat dan sokongan operasi.
Penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu, kepada Dr. Johny Pangkas yang mewakili Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Veronica Lugah, dengan disaksikan oleh Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Program di bawah inisiatif Penambahbaikan Perkhidmatan dan Fasiliti Kesihatan Luar Bandar di Sarawak itu dilaksanakan Petronas dengan kerjasama SABATI dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), bertujuan menggantikan peralatan usang serta meningkatkan standard penjagaan kesihatan jangka panjang pesakit.
Setakat ini, 18 daripada 26 klinik kesihatan luar bandar telah menerima peralatan berkenaan, termasuk Klinik Kesihatan Balai Ringin pada Disember 2025, manakala baki lapan klinik dijadual menerima sumbangan secara berperingkat sepanjang 2026.
Oleh Norman B