
BINTANGOR: Seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan selepas didapati positif dadah dalam Ops Tapis Khas yang dijalankan oleh pasukan polis pada semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata tangkapan dibuat pada lebih kurang 9.35 malam di kawasan bandar Bintangor semasa operasi bersepadu dijalankan oleh pasukan Pasukan Petugas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.
“Suspek telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan dadah sebelum dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut.
“Saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah bersabit kesalahan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun,” tegasnya.
Tansli menegaskan bahawa pihak polis memandang serius kesalahan dan kegiatan penyalahgunaan dadah di Daerah Meradong serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat.
“Pihak polis akan terus melaksanakan operasi dan tindakan berterusan bagi membanteras kegiatan dadah di daerah ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah bagi membantu usaha pihak polis membanteras kegiatan dadah di daerah ini.
“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek