Cody Gakpo menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk Liverpool. Foto AFP
LONDON: Liverpool terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri dramatik 2-2 menentang Fulham awal pagi ini selepas Harrison Reed meledak jaringan penyamaan sensasi pada masa kecederaan, hanya beberapa saat selepas Cody Gakpo menjaringkan gol untuk The Reds.
Gakpo sebelum itu kelihatan meletakkan Liverpool di landasan kemenangan di Craven Cottage apabila meledak gol pada minit keempat masa kecederaan.
Namun, Reed memastikan Fulham meraih satu mata apabila melepaskan rembatan jarak jauh yang menakjubkan, sekali gus menjejaskan usaha Liverpool untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Dalam perlawanan penuh kontroversi di barat London itu, pasukan kendalian Arne Slot terlebih dahulu ketinggalan hasil jaringan separuh masa pertama Harry Wilson.
Gol pembukaan Fulham itu disahkan selepas VAR menolak keputusan awal ofsaid terhadap Wilson.
Walaupun keputusan itu kelihatan tepat, terdapat lebih banyak keraguan terhadap gol penyamaan Florian Wirtz.
Pemain Jerman itu pada awalnya disifatkan berada dalam kedudukan ofsaid dan pemain Fulham begitu yakin dengan keputusan tersebut sehingga hampir berhenti bermain sebelum Wirtz melepaskan rembatan.
Namun, pegawai VAR tidak sependapat dan memutuskan Wirtz berada dalam kedudukan onside dengan perbezaan yang amat tipis, walaupun kaki pemain itu kelihatan sedikit melepasi pertahanan.
Liverpool yang berada di tangga keempat kini mencatat sembilan perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan menjelang kunjungan ke gelanggang pendahulu liga, Arsenal, pada Khamis.
Namun, persembahan The Reds sekali lagi dilihat kurang meyakinkan selepas seri tanpa jaringan menentang Leeds pada Hari Tahun Baharu.
Penyerang Perancis, Hugo Ekitike, terpaksa diketepikan akibat kecederaan hamstring, manakala Alexander Isak turut cedera dan Mohamed Salah pula menyertai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Slot terpaksa menurunkan barisan serangan sementara yang dibarisi Wirtz, Gakpo dan Dominik Szoboszlai.
Drama di penghujung perlawanan
Sepak mula perlawanan ditangguhkan selama 15 minit susulan kecemasan perubatan di Craven Cottage, dan Liverpool kelihatan hilang rentak sejurus perlawanan bermula.
Gakpo mensia-siakan dua peluang awal apabila percubaannya terkena defleksi dan tersasar, sebelum gagal menyudahkan hantaran Curtis Jones.
Liverpool dihukum atas permulaan hambar itu pada minit ke-17 apabila hantaran Raul Jimenez memerangkap perangkap ofsaid Fulham.
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk, dilihat terlepas kawalan, membolehkan Wilson meluru menerima bola dan menyudahkan dengan tenang menewaskan Alisson Becker.
Gol itu pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, namun semakan VAR membolehkan Wilson meraikan jaringan ke atas bekas kelabnya.
Alexis Mac Allister hampir menghidupkan kebangkitan Liverpool apabila tandukannya hasil sepakan sudut Szoboszlai pada awal separuh masa kedua singgah di palang gol.
Detik itu menjadi pencetus kepada gol penyamaan Liverpool pada minit ke-57.
Conor Bradley mara menembusi pertahanan Fulham sebelum melorongkan bola kepada Wirtz, yang mudah menyudahkan dari jarak enam ela ke penjuru jauh.
Sambutan Wirtz pada awalnya terhenti akibat bendera ofsaid, namun selepas semakan panjang VAR, beliau akhirnya meraikan gol keduanya sejak berpindah dari Bayer Leverkusen pada musim panas lalu.
Liverpool hampir menerima padah apabila Jimenez gagal menyudahkan peluang keemasan, sebelum Wilson menanduk bola lantunan ke palang dan Van Dijk menyelamatkan bola susulan di atas garisan gol.
The Reds kelihatan bakal memanfaatkan kelegaan itu apabila Gakpo menolak masuk hantaran Jeremie Frimpong dari jarak dekat pada saat-saat akhir perlawanan.
Namun, Reed memusnahkan impian kemenangan Liverpool apabila melepaskan rembatan padu dari jarak 30 ela yang menerjah ke penjuru atas gawang, sekali gus mencatat gol pertamanya sejak April 2023. – AFP