

SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok bertindak segera selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang di Kampung Bunga Raya, hari ini.
Menurut kenyataan APM Daerah Saratok, sebatang pokok dilaporkan telah menimpa reban ayam di belakang rumah seorang penduduk.
Skuad ASPA 02 digerakkan ke lokasi dan terus menjalankan operasi memotong serta mengalihkan pokok berkenaan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran kawasan terjejas.
Operasi dijalankan dengan pematuhan penuh terhadap aspek keselamatan, termasuk penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) oleh anggota pasukan.
Kerja-kerja pembersihan berjaya diselesaikan tanpa sebarang kecederaan dilaporkan, menurut pihak APM.
APM Saratok menegaskan kesiapsiagaan mereka untuk memberikan perkhidmatan kecemasan dan bantuan kepada komuniti setempat demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.
Orang ramai yang menghadapi kecemasan dinasihatkan menghubungi APM Saratok di talian 083-436094 atau talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan segera.
Dalam kejadian sebegini, kerjasama komuniti dan tindakan pantas pasukan APM terbukti mampu mengurangkan risiko kerosakan dan memastikan keselamatan penduduk.
Oleh Adi Safarman