

SPAOH: Fenomena Air Pasang Besar dengan ketinggian mencecah 6.1 meter telah menyebabkan jalan utama di Kampung Hulu Mangut dinaiki air setinggi satu kaki, menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Spaoh.
Skuad Pemantauan Monsun Timur Laut (MTL) bersama Skuad Charlie APM Daerah Spaoh diaturgerak bagi melakukan tinjauan di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk dan kelancaran trafik.
Hasil pemeriksaan mendapati paras air sungai meningkat pada tahap waspada dan melimpah ke jalan utama kampung, namun masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Fenomena Air Pasang Besar dijangka bermula hari ini sehingga Selasa pada ketinggian 6.1 meter dan dijangka mula menurun pada 9 Januari, dengan ketinggian dijangka 5.5 meter.
APM Daerah Spaoh menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan berisiko dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Penduduk boleh merujuk jadual air pasang untuk negeri Sarawak dengan melayari laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) di did.sarawak.gov.my untuk maklumat terkini.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan melalui talian APM Spaoh di 083-473006 atau talian kecemasan 999.
APM Daerah Spaoh menekankan pentingnya pemantauan berterusan sepanjang tempoh fenomena bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini dan memastikan keselamatan masyarakat setempat terjamin.
Oleh Adi Safarman