

SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok kini meningkatkan pemantauan susulan di beberapa kawasan berisiko banjir di Daerah Roban berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda negeri ini.
Menurut kenyataan APM Daerah Saratok, operasi pemantauan dijalankan bermula 1.40 petang hingga 3.30 petang di beberapa kawasan hotspot banjir sekitar Daerah Roban.
Hasil pemantauan di Jalan Rumah Anta Jelupang, Roban mendapati paras air dicatatkan setinggi 0.022 cm dengan trend air menaik, dipengaruhi hujan berterusan serta fenomena air pasang besar. Laluan di kawasan ini hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.
Di Jalan Sungai Nyiar, Roban pula, paras air direkodkan 0.038 cm dengan trend menaik, menyebabkan laluan utama tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Sementara itu, pemantauan di Jalan Supok Bratong, Roban menunjukkan paras air 0.014 cm dengan trend beransur surut secara perlahan, membolehkan laluan digunakan oleh semua jenis kenderaan.
Setakat ini, keadaan masih terkawal dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka. APM menegaskan pemantauan susulan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.
Orang ramai yang menghadapi sebarang kecemasan dinasihatkan menghubungi APM Daerah Saratok di talian 083-436094 atau talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan segera.
APM Saratok menegaskan kerjasama masyarakat amat penting dalam menghadapi ancaman banjir, dan penduduk di kawasan berisiko digalakkan sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca serta paras air di sekitar kediaman mereka.
Oleh Adi Safarman