
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat pagi ini, manakala Sarawak dan Johor mencatatkan penurunan, menjadikan keseluruhan mangsa di seluruh negara seramai 1,523 orang.
Di Sabah, seramai 495 orang daripada 159 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 282 orang daripada 102 keluarga petang semalam. Peningkatan itu berlaku susulan banjir di Kota Kinabalu dan Beaufort. Di Kota Kinabalu, 180 orang daripada 46 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Masjid Al-Munir, Kampung Darau, manakala di Beaufort, 315 orang daripada 113 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Dewan Selagon.
Di Sarawak, jumlah mangsa menurun kepada 943 orang daripada 243 keluarga setakat 7 pagi ini, berbanding 1,052 orang daripada 264 keluarga semalam. Mereka ditempatkan di lapan PPS, termasuk SJK Chung Hua Batu Kawa (211 orang), SJK Chung Hua Sungai Tengah (191 orang) dan Dewan Serbaguna Taman Malihah (132 orang).
Di Johor, mangsa banjir menurun kepada 85 orang daripada 25 keluarga setakat 9 pagi ini. Lima PPS masih beroperasi di Segamat, antaranya Balai Raya Kampung Batu Badak (36 orang) dan Dewan Serbaguna Kampung Tasek (15 orang). Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat melepasi paras bahaya dengan bacaan 8.72 meter, manakala Jeti Sungai Tekam berada pada paras amaran 3.91 meter. Dua jalan masih ditutup sepenuhnya: Jalan Felda Tenggaroh 3, Mersing akibat cerun runtuh dan Jambatan Kesang-Sungai Rambai, Tangkak kerana rosak.
– Bernama