BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melancarkan Pelan Pembangunan Ekonomi Kitaran bagi menggantikan ekonomi linear untuk memulihkan ekonomi ketika pandemik Covid-19.
Datuk Bandar MBSP Datuk Rozali Mohamud berkata, ekonomi kitaran merupakan kaedah yang mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) yang mampan untuk Pulau Pinang.
“Dengan pandemik yang sedang melanda, ekonomi perlu dipulihkan oleh itu pelan pembangunan ini perlu disegerakan. Ekonomi kitaran tidak mudah terkesan oleh ancaman ekonomi kerana ia berbentuk pertanian dan penyediaan makanan.
“Oleh itu, kita perlu menghala kepada kedah ekonomi yang mampan. Kaedah ini akan menjadi penyumbang ekonomi kepada golongan B40, sektor industri, universiti dan penduduk setempat,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.
Tambahnya melalui pelaksanaan ekonomi kitaran, golongan B40 akan memfokuskan ke arah pertanian urban, pembuatan kompos dan mengitar semula sisa organik, manakala sektor industri akan memfokuskan kepada teknologi tinggi. Selain itu, MBSP akan menggunakan kepakaran yang dikongsikan daripada universiti tempatan, untuk menjalankan kerja-kerja pelan tersebut.
Katanya Pelan Pembangunan Ekonomi Kitaran MBSP, mempunyai lapan bidang keberhasilan utama yang menumpukan kepada tapak pelupusan, industri kitar semula, sisa makanan, plastik sekali guna, sisa binaan, sisa elektronik, tenaga yang boleh diperbaharui dan pengurusan air dan kumbahan. – Bernama