Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • 47 terbunuh, 112 cedera dalam kebakaran bar di Crans-Montana, Switzerland
  • GLOBAL

47 terbunuh, 112 cedera dalam kebakaran bar di Crans-Montana, Switzerland

Utusan Sarawak 4 hours ago
PEGAWAI polis dan pasukan penyelamat berdiri di hadapan kenderaan bomba di lokasi kebakaran yang memusnahkan bar Le Constellation di Crans-Montana pada 1 Januari 2026. Foto AFP

GENEVA: Sekurang-kurangnya 47 terbunuh manakala 112 lagi cedera selepas kebakaran tercetus di sebuah bar yang sesak ketika sambutan malam Tahun Baharu di bandar peranginan ski Crans-Montana, Switzerland, menurut Menteri Luar Itali Antonio Tajani kepada media Itali semalam, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bercakap kepada Sky TG24, Tajani berkata proses mengenal pasti mangsa akan menjadi “amat rumit dan mengambil masa.”

Beliau menambah bahawa beberapa rakyat Itali yang cedera telah pun dipindahkan ke Milan. Laporan itu, memetik Duta Besar Itali ke Switzerland, Gian Lorenzo Cornado, menyatakan enam rakyat Itali masih hilang manakala 13 lagi dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Switzerland setakat ini mengesahkan angka sementara yang lebih rendah.

PASUKAN penyelamat dan bomba sedang bertugas di lokasi kebakaran yang memusnahkan bar Le Constellation. Foto AFP

Polis kanton Valais memaklumkan kira-kira 40 terbunuh dan sekitar 115 cedera, kebanyakannya parah, sambil menegaskan proses pengecaman mangsa masih berjalan dan angka itu masih boleh berubah.

Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa proses mengenal pasti mangsa yang maut mungkin mengambil masa beberapa hari berikutan keadaan mayat.

Memandangkan sifat antarabangsa pusat peranginan itu, pegawai Switzerland juga berkata warga asing berkemungkinan termasuk dalam kalangan mangsa.

Kebakaran itu tercetus di bar berkenaan sejurus selepas tengah malam, mencetuskan tindak balas kecemasan berskala besar.

Puluhan ambulans dan helikopter dikerahkan, manakala mangsa yang cedera dipindahkan ke hospital di seluruh Switzerland serta beberapa hospital di luar negara, termasuk unit rawatan khusus untuk kes melecur.

SIDANG MEDIA… Ketua Jabatan Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Mathias Reynard, Ketua Jabatan Keselamatan Stephane Ganzer, Komander Polis Kantonal Valais Frederic Gisler, Peguam Besar Kanton Valais Beatrice Pilloud dan Naib Presiden Majlis Perbandaran Crans-Montana Nicole Bonvin Clivaz, bercakap pada sidang akhbar susulan kebakaran yang memusnahkan bar Le Constellation di bandar peranginan ski mewah Crans-Montana, pada 1 Januari 2026. Foto AFP

Siasatan jenayah berhubung insiden itu sedang dijalankan.Pendakwa Valais berkata beberapa hipotesis sedang diteliti, dengan teori yang kini diberi keutamaan ialah kebakaran menyeluruh yang mencetuskan letupan.

Pihak berkuasa menegaskan banyak keadaan masih perlu diperjelaskan dan menggesa semua pihak agar bertenang serta menghormati keluarga mangsa.

Pegawai Switzerland menolak unsur keganasan dan berkata tumpuan kekal untuk menentukan urutan kejadian yang tepat sehingga membawa kepada kebakaran itu.

Pakar forensik dari Zurich telah dilantik untuk membantu siasatan serta proses pengecaman mangsa. – Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Gempa bumi kuat bermagnitud 6.0 gegarkan wilayah Lautan Hindi
Next: Korea Selatan dilanda gelombang sejuk melampau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.