
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan melaksanakan satu kaji selidik bagi mengatasi masalah banjir di Sungai Batu di sini terutamanya fenomena banjir ‘termenung’.
Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman berkata, pihaknya akan mengusahakan kajian ini setelah mendengar ulasan dan pendapat pihak pemimpin komuniti ketika lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Ar Rahman, Kampung Sungai Batu hari ini.
Katanya, beliau akan membawanya kepada pihak atasan kerajaan Sarawak supaya satu kaji selidik bersama agensi berkenaan dilakukan dalam usaha meringankan beban dan risiko banjir.
“Insya-Allah pada masa yang akan datang, pihak kita akan bersama dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) untuk berbincang dengan perkara ini.
“Jadi, saya berterima kasih kepada kepimpinan masyarakat tadi sebab mereka dapat menyuarakan perkara yang praktikal atas lapangan untuk kita selesaikan.
“Insya-Allah kita akan bersama-sama dengan agensi yang lain untuk menangani masalah ini,” katanya ketika ditemui selepas lawatan tersebut.
Dalam pada itu, Dato Hilmy menambah, satu PPS tambahan di Sungai Lumut akan dibuka sekiranya PPS Surau Ar Rahman yang kini menempatkan 65 mangsa banjir telah penuh.
Menurutnya, pihak Pejabat Daerah akan memberi arahan seterusnya sekiranya keperluan untuk memindahkan sebahagian mangsa di PPS Surau Ar Rahman ke PPS Sungai Lumut yang mampu menampung lebih 100 mangsa banjir.
Sekiranya keadaan terus tidak menentu ujarnya, kesemua mangsa banjir dj PPS Surau Ar Rahman akan dipindahkan ke PPS Sungai Lumut tertakluk kepada pihak pejabat daerah.
“Nasihat saya kepada penduduk di kawasan ini supaya sentiasa berwaspada dan sekiranya diarahkan untuk berpindah, jangan berlengah-lengah dan ikut arahan pihak atasan di lapangan,” ujarnya.
Dalam lawatan itu, Dato Hilmy juga menyampaikan bantuan asas keperluan kepada mangsa-mangsa banjir di PPS Surau Ar Rahman.
-UKAS