KUALA LUMPUR: Impak pandemik Covid-19 ke atas industri minyak dan gas, ditambah dengan aktivisme agenda hijau, boleh mendorong penggabungan dan penyatuan mega dalam kalangan syarikat utama industri ini, kata Penganalisis AmInvestment Bank Bhd, Alex Goh.
Beliau berkata, pemegang saham dan aktivisme agenda hijau semakin mempengaruhi syarikat minyak utama untuk beralih daripada bahan api fosil dengan pelan meningkatkan tenaga boleh diperbaharu sebanyak 6.4 kali ganda kepada 45 gigawatt (GW) seiring jumlah perbelanjaan modal yang dirancang sebanyak AS$200 bilion (kira-kira RM828 bilion) menjelang 2030, daripada tujuh GW pada masa ini.
“Semua syarikat minyak utama, kecuali Exxon Mobil buat masa ini, komited untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dengan rancangan menjual pelaburan minyak dan gas luar negara masing-masing. Ini boleh mewujudkan satu era penggabungan dan penyatuan besar-besaran,” katanya berasaskan Sidang Kemuncak Tahunan Maya Asia-Pasifik 2020 oleh Rystad Energy.
Rystad Energy merupakan syarikat perisikan perniagaan dan penyelidikan tenaga bebas berpangkalan di Norway yang menyediakan perkhidmatan analisis data dan perundingan kepada industri minyak dan gas.
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Yinson Holdings Bhd telah melabur dalam tenaga solar.
Peralihan kepada tenaga boleh diperbaharu itu mula dilaksanakan sejak tiga tahun lepas dengan Petronas mengendalikan kapasiti solar 448 megawatt (MW) di India dan Asia Tenggara selain sedang membangunkan 212 MW lagi.
Di Malaysia, Petronas mengoperasikan dan membangunkan kapasiti solar 50 MW, sebahagiannya untuk bekalan kepada 15 pasar raya Tesco.
Antara penyedia perkhidmatan tempatan, hanya Yinson yang mengambil langkah berani dengan melabur AS$30 juta (RM124 juta) bagi pegangan ekuiti sebanyak 95 peratus dalam Rising Son Energy, yang memiliki ladang solar 160 MW di Fasa II Bhadla Solar Park, Rajasthan, India.
Goh berkata, pertambahan semula janji niaga penggabungan dan pengambilalihan hiliran sememangnya dijangkakan berikutan kekurangan aktiviti pada separuh pertama 2020 dengan Chevron membeli Nable Energy pada AS$13 bilion (RM54 bilion) Julai tahun ini.
Langkah korporat dijangka diambil dengan Exxon Mobil merancang untuk menjual aset di United Kingdom, Jerman, Australia, Indonesia, Vietnam dan Malaysia.
Beliau berkata, Repsol dan Petrofac juga merancang untuk menamatkan operasinya di Malaysia.
Beliau berkata, Rystad menjangkakan kes Covid-19 meningkat sebanyak lima kali ganda semasa musim sejuk pada November hingga Disember tahun ini berikutan keimunan kelompok tidak akan dapat dicapai.
Memandangkan strategi realistik adalah hanya menunggu vaksin yang boleh diberikan di peringkat global dalam tempoh lapan hingga 24 bulan maka teknologi baharu serta tingkah laku yang disesuaikan akan terus memberi kesan struktural jangka panjang ke atas penggunaan tenaga.
“Permintaan harian terhadap minyak di peringkat dunia dijangka susut sebanyak 18 juta tong pada 2020 walaupun trafik harian di jalan raya global menunjukkan pertambahan pada September, disokong oleh keadaan China dan negara Asia lain yang hampir kembali normal,” katanya.
Beliau berkata Rystad memberi amaran mengenai senario gelombang kedua yang akan mengurangkan lagi pengeluaran sebanyak empat juta tong sehari menjelang akhir tahun ini.
“Pandemik viral ini akan memberi impak negatif bersih ke atas permintaan minyak global sehingga 2025, dengan kira-kira 0.9 juta tong sehari di bawah paras pra-Covid-19, selepas susut 24 juta tong pada April tahun ini,” katanya. – Bernama