
SARIKEI: Pertubuhan Muzik dan Nyanyian Da Lian telah mengadakan majlis akhir tahun bagi meraikan semua ahlinya dari pelbagai lapisan usia melalui muzik, persembahan dan interaksi mesra komuniti.
Hadir bagi mewakili Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii ialah Penghulu Huang Tiong Kang.
Tiong Sii berkata, majlis tersebut membawa makna mendalam kerana muzik bukan sahaja menjadi hiburan, tetapi kekuatan yang menyatukan hati dan jiwa.
“Muzik telah menjadi jambatan untuk menyatukan persahabatan, meredakan tekanan dan menguatkan hubungan dan ia adalah satu usaha yang sangat dihargai.
“Saya amat menghargai sokongan dan kesetiaan setiap ahli pertubuhan dalam meneruskan aktiviti seni suara yang menjadi sebahagian identiti masyarakat Sarikei,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Penghulu Huang Tiong Kang pada majlis tersebut, baru-baru ini.
Tambahnya, majlis diadakan bagi memastikan ahli terus merasai pertalian kekeluargaan, selain menjadikan pertubuhan ini platform penyebaran nilai positif dan keharmonian dalam masyarakat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ahli jawatankuasa dan semua ahli Pertubuhan Muzik dan Nyanyian Da Lian atas usaha berterusan menjaga pengurusan persatuan tersebut dan memacu aktiviti seni suara sepanjang tahun.
Majlis juga diserikan dengan sambutan ulang tahun ahli-ahli persatuan, selain pelbagai persembahan nyanyian, sesi bergambar dan jamuan santai yang menjadi ruang interaksi sosial bagi mengeratkan hubungan komuniti.
“Saya berharap persatuan ini terus berkembang maju, menganjurkan lebih banyak program bermakna dan kekal menghubungkan rakyat melalui muzik,” katanya.
Pada majlis sama, Tiong Sii turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Pertubuhan Muzik dan Nyanyian Da Lian Sarikei.
Oleh Earl Anek