Di saat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jelas semua rakyat Malaysia tersenyum lebar.
Ada yang gembira kerana dapat bertemu dengan keluarga dan rakan taulan. Ada juga yang teruja ingin bekerja dan memulakan perniagaan mereka semula.
Jelas sekali, kegembiraan ini turut pasti dirasai oleh golongan yang ingin beriadah.
Apabila bercakap mengenai riadah, lokasi yang strategik dan kondusif adalah keutamaan para pengunjung.
Bagi penduduk Kota Samarahan, Tasik Desa Ilmu merupakan destinasi riadah yang terkenal dan wajib dikunjungi oleh penduduk setempat. Tasik ini dianggap permata yang tersembunyi di sebalik Perumahan Desa Ilmu.
Lokasinya sangat mudah untuk disinggahi dan diakses oleh penduduk setempat. Jarak tasik ini dari Summer Mall dan Aiman Mall hanya dua kilometer.
Hampir setiap hari tasik ini akan dipenuhi para pengunjung tidak kira bangsa dan usia yang ingin melakukan aktiviti sihat di sini.
Kebiasaannya, ramai pengunjung akan datang di waktu petang dan pada hujung minggu. Trek pejalan kaki lebih kurang satu kilometer mengelilingi tasik jelas menjadi lokasi pilihan penggemar aktiviti joging bertandang di sini.
Tambahan pula, keindahan permandangan di sekitar tasik menjadikan lokasi ini destinasti yang terbaik untuk menenangkan fikiran bersama keluarga.
Tasik ini mempunyai dua pusat berkumpul yang memudahkan para pengunjung untuk memilih permandangan yang mereka minati. Setiap pusat tersebut mempunyai keindahan panoramana yang tersendiri.
Selain itu, terdapat peralatan senaman taman mini dan pondok untuk persinggahan di kedua-dua pusat tersebut. Beberapa bangku simen turut disediakan di beberapa spot khusus sepanjang trek pejalan kaki.
Kesemua kemudahan ini telah disediakan dan diselanggarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan bantuan wakil rakyat di kawasan tersebut.
Tidak hanya terhenti di situ, Tasik Desa Ilmu juga menjadi tempat untuk peminat kapal air kawalan jauh (boat remote control) dan dron melepaskan gian mereka.
Secara tuntasnya, tidak dapat disangkal lagi bahawa Tasik Desa Ilmu adalah antara permata paling berharga di Kota Samarahan.
Oleh Akmal Adib Yusup