
SARATOK: Pasukan Makarion FC muncul juara Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah Piala Krismas bagi merebut Piala Pusingan VSRC yang berlangsung di Padang Bola Sepak Rumah Ikom Senyawan, baru-baru ini.
Pada aksi perlawanan akhir yang sengit, Makarion FC berjaya menewaskan KWT Makarion dengan jaringan 4-2 sekali gus mengesahkan kejuaraan edisi pertama kali ini.
Dengan kejayaan tersebut, Makarion FC membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala dan pingat, manakala KWT Makarion selaku naib juara menerima RM1,000 berserta piala dan pingat.

Sementara itu, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, pasukan Senyawan menewaskan Skyline FC 2-1 untuk menduduki tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500 berserta piala dan pingat.
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Kejohanan Piala Krismas Tujuh Sebelah VSRC edisi ini berjaya menarik penyertaan 25 pasukan dan dianjurkan oleh Vanture Sports And Recreation Club (VSRC), sebuah kelab sukan yang baharu ditubuhkan di Saratok.

Mohamad Duri merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur atas usaha menganjurkan aktiviti berfaedah kepada golongan belia bukan sahaja di sekitar Saratok, malah melibatkan penyertaan dari daerah lain.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran aktiviti sukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka serta berjanji untuk memastikan prasarana sukan di konstituensi itu terus ditambah baik.
“Alhamdulillah, gelanggang futsal berbumbung di Rumah Panjang Ikom Sidom Senyawan juga telah siap dan boleh digunakan oleh komuniti untuk beriadah serta menjana ekonomi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Ikom Senyawan,” katanya.

Menurut beliau lagi, selaku wakil rakyat DUN Kalaka, usaha akan diteruskan bagi memastikan prasarana sukan dibina dan dinaik taraf demi keselesaan penduduk.
Dalam pada itu, jurucakap penganjur memaklumkan bahawa edisi kedua kejohanan berkenaan akan dibuka kepada penyertaan pasukan dari seluruh Sarawak.
“Edisi kedua dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Februari 2026 di Padang Bola Sepak Rumah Ikom Senyawan,” katanya.
Oleh Adi Safarman