
JAKARTA: Seramai 16 penghuni sebuah rumah jagaan warga emas di pulau Sulawesi, Indonesia, maut dalam kebakaran yang berlaku semalam, manakala tiga lagi cedera, menurut seorang pegawai tempatan hari ini.
Ketua Agensi Bomba dan Penyelamat Manado, Jimmy Rotinsulu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 8.31 malam di rumah jagaan di Manado, ibu kota wilayah Sulawesi Utara.
“Terdapat 16 kematian, manakala tiga orang mengalami kecederaan akibat melecur,” katanya kepada AFP.
Menurut beliau, kebanyakan mangsa ditemui meninggal dunia di dalam bilik masing-masing dan dipercayai sedang berehat ketika kebakaran tercetus.

Tambahnya, pihak berkuasa berjaya memindahkan 12 penghuni lain yang semuanya tidak cedera sebelum dibawa ke hospital tempatan untuk pemeriksaan lanjut.
Rakaman yang disiarkan oleh penyiar tempatan, Metro TV, menunjukkan api marak menyelubungi rumah jagaan berkenaan, sementara penduduk setempat membantu memindahkan seorang warga emas ke tempat selamat.
Insiden kebakaran maut bukan sesuatu yang luar biasa di Indonesia, negara kepulauan di Asia Tenggara yang mempunyai lebih 17,000 pulau.
Pada bulan ini, kebakaran di bangunan pejabat tujuh tingkat di Jakarta telah mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang, manakala pada 2023, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam satu letupan di loji pemprosesan nikel di timur negara itu.
-AFP