
Mexico City, Mexico:Sebuah kereta api yang membawa 250 orang tergelincir di selatan Mexico semalam, mengakibatkan 13 maut dan 98 cedera, menurut pihak berkuasa.
Tentera Laut Mexico, yang mengendalikan laluan berkenaan, memaklumkan lokomotif tren itu terbabas ketika melalui negeri Oaxaca.
Pada awalnya, hanya 20 mangsa cedera dilaporkan, namun beberapa jam kemudian Tentera Laut mengesahkan jumlah meningkat kepada 98 orang cedera dan 13 terkorban.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, berkata beliau telah mengarahkan Setiausaha Tentera Laut bersama pegawai kanan lain ke lokasi kejadian bagi membantu keluarga mangsa.
Pejabat Peguam Negara Mexico turut memaklumkan siasatan telah dibuka untuk mengenal pasti punca nahas. Laluan kereta api ini menghubungkan Teluk Mexico dan Lautan Pasifik serta digunakan untuk penumpang dan kargo.
Laluan tersebut telah dirasmikan pada 2023 sebagai projek infrastruktur utama di bawah pentadbiran bekas presiden Andres Manuel Lopez Obrador bagi membangunkan wilayah tenggara Mexico.
Pada 20 Disember lalu, tren di laluan sama pernah berlanggar dengan sebuah lori kargo yang cuba melintasi landasan, namun insiden itu tidak mengakibatkan kematian. -AFP