
MIRI: Sebuah rumah kosong jenis tidak kekal di Jalan Kampung Pasir, Jalan Dato Gabriel, Lutong di sini musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.03 pagi sebelum sepasukan anggota bersama sebuah jentera FRT dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, api didapati sedang marak membakar sebuah rumah satu tingkat berukuran kira-kira 15 x 20 kaki persegi.
“Rumah berkenaan disahkan tidak berpenghuni ketika kejadian berlaku,” katanya di sini.
Menurut Henry, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu pancutan air dari tangki jentera, selain dibantu oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 1.49 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.47 pagi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan kebakaran menyebabkan kemusnahan 100 peratus,” jelasnya.
Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.