
LAWAS: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Lawas berjaya menangkap seekor anak buaya yang tersesat di kawasan rumah penduduk di Kampung Baru, Sundar di sini, semalam.
Reptilia itu dipercayai tersesat sebelum ditemui penduduk di kawasan terbabit yang kemudiannya bertindak menghubungi pihak APM.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Lawas Leftenan (PA) Maradona Tatah berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.30 malam daripada penduduk yang mendakwa buaya di atas jalan di berhampiran rumah berkenaan.
Katanya, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi yang jauhnya 29 kilometer (km) dari Pusat Kawalan Operasi Daerah Lawas.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati anak buaya tersebut berada di sebelah rumah penduduk dan berpotensi mengancam keselamatan penduduk setempat.
“Pasukan operasi telah berjaya menangkap anak buaya tersebut menggunakan teknik menjerut dengan selamat dan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, seramai tiga anggota APM Lawas menyertai operasi itu yang ditamatkan pada 9.48 malam.
Oleh Adeng Edrus