
SARIKEI: Dua pesakit terlantar sakit di rumah telah menerima bantuan katil pesakit boleh laras sumbangan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Hadir selaku wakil bagi menyerahkan sumbangan kepada penerima ialah pasukan Pusat Khidmat Repok pada semalam.
Menurut Tiong Sii, inisiatif tersebut adalah sebagai usaha beliau memastikan pesakit yang terlantar di rumah memperoleh kemudahan lebih baik dalam penjagaan harian.
“Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban penjagaan pesakit dan memberi keselesaan yang lebih baik kepada mereka.
“Sebagai wakil rakyat, keutamaan saya adalah memastikan kebajikan dan keperluan asas rakyat sentiasa diberi perhatian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, penerima sumbangan tersebut, Yii Peng Lok, 55, di Jalan New Century Garden.
“Turut menerima sumbangan katil pesakit boleh laras ialah Wong Liong Sieng @ Wong Liong Seng, 90, di Sungai Baji.
“Saya akan sentiasa memastikan kebajikan rakyat di Parlimen Sarikei dan DUN Repok terus terpelihara,” katanya.
Oleh Earl Anek