

LUNDU: Sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi hampir musnah dalam satu kejadian kebakaran kereta yang berlaku di Lebuh Raya Pan Borneo, berhampiran Kampung Tebero, Lundu, awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Sarawak, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.33 pagi dan jentera tiba di lokasi kira-kira 3.48 pagi, dengan jarak perjalanan sejauh 14 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Iskandar Apet memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah kenderaan yang terbakar kira-kira 90 peratus.
Pasukan bomba bertindak melakukan pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula air dari jentera bagi mengawal serta memadam kebakaran.
“Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada 4.00 pagi dan tamat sepenuhnya sekitar 4.10 pagi. Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, setelah memastikan tiada lagi punca api dan tiada risiko kemerebakan, pasukan bomba kemudian beredar dan kembali ke balai.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut. Operasi melibatkan seramai enam anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS.
Oleh Shikin Mahmud