
SPAOH: Kehadiran sarang tebuan berbisa di pondok kebun mencetuskan kebimbangan seorang penduduk, sekali gus memerlukan tindakan segera Angkatan Pertahanan Awam (APM) Spaoh, malam ini.
Menurut kenyataan APM Spaoh, seorang penduduk dikenali sebagai Husaini telah menjumpai sarang tebuan di pondok kebunnya dan bimbang akan keselamatan diri serta orang sekeliling.
Susulan itu, beliau bertindak pantas menghubungi talian Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Spaoh bagi memohon bantuan untuk memusnahkan sarang serangga berbahaya tersebut.
Bertindak atas maklumat diterima, Skuad Bravo APM Spaoh yang diketuai Sarjan Hasla Deli bersama tiga anggota lain segera digerakkan ke Kampung Manggut dengan membawa peralatan khas pemusnahan serangga.

Setibanya di lokasi, anggota mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) termasuk dua baju lebah sebelum menjalankan pemeriksaan terperinci di sekitar pondok kebun berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu sarang tebuan jenis ‘naning’ sebesar bola takraw yang bersarang di bahagian atap hadapan pondok kebun tersebut.
Operasi pemusnahan dijalankan menggunakan kaedah semburan Ridsect dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk diselesaikan sepenuhnya tanpa sebarang kecederaan kepada anggota.
APM Spaoh memaklumkan operasi berjalan lancar dan menasihatkan orang ramai agar segera menghubungi APM Spaoh di talian 083-473006 atau talian kecemasan 999 sekiranya berdepan situasi kecemasan melibatkan keselamatan awam.
Oleh Adi Safarman