NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Seramai 796 orang penduduk terdiri daripada warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal atau balu, anak-anak yatim, saudara baru serta golongan kurang berkemampuan dari Kampung Rajang, Jerijeh, Belawai dan Tanjung Manis menerima sumbangan berupa wang tunai daripada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan anak-anak syarikatnya.
Bantuan ini melibatkan sumbangan berjumlah RM80,000.00 dari Anak-anak Syarikat PUSAKA.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, pada tahun ini, sejajar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pihak PUSAKA dan anak-anak syarikatnya akan menghulur bantuan berupa wang tunai sahaja.
“PUSAKA dan anak-anak syarikatnya telah menghulur bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas kepada para penduduk sempena menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak pada tahun-tahun lepas.
“Namun, lain pula pada tahun ini kerana kita hanya menghulurkan wang tunai yang mana sumbangan ini diberikan sebagai tanggungjawab sosial korporat PUSAKA kepada masyarakat yang kurang berkemampuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan PUSAKA dan Anak-anak Syarikat PUSAKA di Wisma Sumber Alam, semalam.
Program ini telah diadakan 20 tahun yang lalu sejak Datu Len Talif Salleh sebagai Timbalan Pengurus Besar dan seterusnya Pengurus Besar PUSAKA dengan tujuan untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Kita berharap penerima menggunakan sebaik-baiknya sumbangan yang diberikan ini untuk membantu meringankan beban golongan asnaf agar mereka turut sama meraikan Ramadan dan seterusnya perayaan Aidilfitri yang akan datang.
“PUSAKA akan meneruskan tanggungjawab sosial kepada masyarakat, khususnya kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya yang juga ADUN N41 Kuala Rajang merangkap Ahli Lembaga Pengurusan PUSAKA.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengurus Besar PUSAKA Hashim Bojet kepada Datu Len Talif Salleh yang akan mengagihkan sumbangan tersebut kepada penduduk-penduduk di kawasan berkenaan.