

MIRI: Dua gerai di Pasar Lapok Tinjar, di sini, musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.38 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan dua pintu gerai dengan anggaran keluasan 20 x 50 kaki persegi, membabitkan struktur tidak kekal yang terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan satu nozel, menggunakan sumber air daripada pam jentera sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan keadaan berjaya dikawal dalam tempoh singkat. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling