
PETRA JAYA: Kenderaan jenis Proton Exora terbakar kira-kira 50 peratus di bahagian enjin dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Budaya Sarawak, di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.53 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi.

Menurut kenyataan itu, jentera bomba tiba di tempat kejadian pada 10.12 pagi dan mendapati kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pegawai keselamatan Kampung Budaya menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki, satu nozel serta satu alat pemadam api.
“Pasukan bomba hanya menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan memastikan tiada lagi punca api atau kemerebakan kebakaran sebelum operasi ditamatkan,” katanya.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya tanpa melibatkan sebarang kecederaan mangsa.