Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Pengaruh Dimensi Silang
  • WBS

Pengaruh Dimensi Silang

Utusan Sarawak 12 hours ago

PERJANJIAN itu mendatangkan kutukan. Jasad mereka berdua telah ditemui oleh orang ramai yang menyertai larian amal. Di dalam sebuah kereta milik Archro, akibat keracunan karbon monoksida.

Kereta mewah sebelum itu telah berubah wajah seperti kereta asalnya. Kereta tersebut dijumpai di sebuah bukit yang terkenal dengan kisah mistik.

Tiada siapa tahu akan punca sebenar, bahkan dengan ahli keluarga terdekat mereka sendiri. Mustahil mereka tertidur. Tiada juga unsur-unsur jenayah yang terlihat secara fizikal.

Pada jam 6:30 petang, Archro dan Hamprez memasuki portal ajaib yang tersembunyi di balik pepohon Ara gergasi yang berusia puluhan bahkan ratusan tahun. Ini menandakan bertitik tolak daripada keajaiban tersebutlah mampu menghilangkan mereka dari radar manusia.

Sebarang bentuk alat telekomunikasi harus ditinggalkan di dalam kereta. Kereta perlu diparkir jauh dari portal tersebut. Ini merupakan salah satu misi rahsia tanpa ruang untuk pendedahan. Mereka tidak boleh berpatah balik sama sekali.

Di dunia asing yang mereka temui, seorang lelaki misteri bernama Blacky66 menyambut mereka dengan girang sekali. Pelbagai spekulasi bermain di ubun-ubun kepala mereka sebelum itu. Setibanya di sana, identiti mereka berubah. Archro menjadi Woster43, sementara Hamprez dikenali sebagai Castrix44.                       

“Selamat datang, Woster43 dan Castrix44. Bagaimana perasaan kalian selepas memasuki dunia baru dambaan kalian ini?”

Archro yang berdiri di sebelah kirinya pun menjawab dengan nada yang bersahaja.  “Saya merasakan saya kini berada di alam mimpi, Blacky66. Identiti kami telah berubah begitu drastik. Tiada sesiapa pun yang mengenali kami berdua di sini. Sudah pastinya saya akan sentiasa mengingati hari yang bersejarah ini.”

Hamprez mencelah, “Betul, kami akan sentiasa menerima sebarang transformasi dengan hati yang terbuka. Sebab inilah yang kami inginkan selama ini. Kekayaan dan kemewahan.” Jawabnya mudah.

Blacky66 yang berpenampilan garang dengan bandana merah menutup sebelah matanya membawa mereka ke setiap pelosok dunia yang baru mereka jejakkan kaki itu.

Saat berjabat tangan, kejutan elektrik halus menyusup ke tubuh mereka, satu pengalaman luar biasa yang sukar dijelaskan. Sebelum ritual tengah malam seperti yang telah dimaklumkan sebelum itu, Blacky66 membawa mereka menaiki karpet terbang mengelilingi kampung yang dihuni oleh enam ratus enam puluh enam orang.

Di kampung itu, sistem kehidupan berubah setiap tahun mengikut kesesuaian penduduk baru. Tiada pertanyaan dibenarkan, hanya pemerhatian. Ini hanyalah permulaan perjalanan mereka dalam dunia penuh misteri tersebut.

Di dunia asing ini, satu hari bersamaan sepuluh hari di dunia manusia. Setiap penghuni memiliki kod QR unik di bahagian tengkuk yang menyimpan maklumat peribadi masing-masing.

Hanya boleh diakses oleh individu tertentu di dalam sebuah makmal rahsia yang berpangkalan atas bukit. Bahasa pertuturan di sini asing dan sukar difahami. Penduduk dipaksa melakukan kerja berat.

Sebagai buruh paksa. Ala-ala hamba abdi zaman firaun yang dikerah untuk membina Piramid dan monumen bersejarah yang lain. Sebarang pelanggaran peraturan membawa kepada hukuman kejam.

Lelaki bertubuh gagah mengangkut bongkah batu ke Pusat Keunggulan Sejagat manakala wanita menyediakan makanan dari sumber tempatan menggunakan resipi pelik yang belum pernah diperkenalkan.

Tugas utama mereka adalah untuk membina Istana Kristal, yang akan menyimpan segala harta karun secara magis apabila siap nanti. Kejayaan mereka bergantung pada ketekunan dan usaha bersama dalam menyelesaikan projek mega ini.

Mereka diperintahkan untuk menyiapkan tugasan agung selama enam puluh enam hari waktu manusia. Semasa mengerjakan pekerjaan kasar mereka itu, identiti lama semakin pudar. Yakni semuanya setaraf.

Tiada perbezaan latar belakang lagi. Gaya potongan rambut dan pakaian seragam menandakan keseragaman mutlak. Blacky66 menegaskan bahawa ideologi dan gaya hidup hendaklah seiring tanpa sebarang pertentangan.

Walaupun penghuni kelihatan seperti dikerah bekerja, mereka sebenarnya dikurniakan kuasa ajaib untuk menghasilkan senibina yang unik dah lambang kemegahan. Oleh itu, tidak perlu terlampau bimbang.

Misi utama mereka ialah menjadikan persatuan elit ini yang terkaya di dunia dibawah pimpinan ahli korporat berpengaruh seantero dunia. Ti Pu Ti Pu, perkampungan yang menyeramkan.

Dihuni burung gergasi pemakan darah dengan sayap emas dan memakai topeng beraneka warna sebagai penanda tugasan. Macam kembali semula ke zaman Jurasik. Burung-burung yang berterbangan bukanlah dari spesis biasa yang selalu terbang di angkasa raya dunia nyata.

Rupa burung begitu menakutkan dan bunyi kepakan sayap begitu membingitkan telinga. Sesiapa yang cuba mencuri tulang sudah pastinya menempah nama sebagai mangsa yang akan dicampakkan ke kolam takungan air tanpa belas ihsan.

Ritual utama akan berlangsung jam 11:30 malam di Padang Lapang, bertemakan Dunia Pempengaruh. Tema yang mereka berdua pilih sendiri sebelum bersetuju memasuki ke dunia ini.

Persiapan giat dilakukan dengan unggun api setinggi bangunan menjadi pusat perhatian. Semua mata tertumpu kepada mereka berdua ketika muzik ghaib tiba-tiba berkumandang dengan irama yang mempesona, mengiringi gerakan flora dan fauna yang menari seolah-olah hidup.

Setiap penghuni kampung, yang berpakaian merah, menari mengelilingi unggun api dengan gerakan yang aneh. Di atas pentas utama, mereka berdua iaitu Archro dan Hamprez berdiri berhadapan dengan pembuat dasar perjanjian.

Seorang lelaki berjubah putih ditemani enam pembantu wanita. Seluruh badan mereka dipenuhi tatu motif menyeramkan.

Ketika perjanjian dimeterai, langit bergemuruh dengan dentuman kuat dan pintu langit terbuka, sementara seluruh penghuni rebah membentuk formasi menyerupai huruf S. Ritual itu berlangsung selama dua puluh minit, meskipun terasa lebih lama bagi mereka.

Selepas ritual, mereka dibawa keluar melalui Portal 2.0 dengan menggunakan karpet terbang. Sebelum meninggalkan dunia itu, sorakan dan laungan semangat dari semua penghuni bergema.

Sekembalinya mereka ke dunia nyata selepas sehari di sana, ketika mereka berjalan di sekeliling pohon Ara, calitan merah di dahi mereka yang berbentuk ular dan pedang membentuk huruf S telah lenyap tanpa jejak.

Namun, mereka tidak peduli akan hal tersebut. Bagi mereka apa yang terlintas di fikiran yang sudah bertuhankan nafsu itu, hanyalah gambaran kekayaan dan kemegahan yang bakal mereka raih di media sosial.

Kejadian luar biasa itu diteruskan apabila mereka mendapati kereta yang diparkir sepuluh hari lalu telah berubah menjadi sebuah kereta mewah dengan nombor plat pendaftaran satu digit.

Dengan senyuman lebar, mereka memeriksa keindahan kereta itu, seolah-olah mimpi telah menjadi realiti. Setibanya ke dunia sebenar, mereka hanyut dibuai kekayaan dan kemegahan yang datang secara tiba-tiba.

Di mana sahaja mereka berada, sambutan mesra dan pemberian aset bernilai tidak diminta pun menghampiri diri mereka.

Semasa mereka bersiaran secara langsung mereka di media sosial milik mereka yang diberikan pengguna DuoParanormal444, mereka telah menghasilkan pendapatan yang melambung tinggi.

Luar biasa berbanding sebelum ini. Selama lebih kurang enam bulan, mereka yang sebelum ini tidak memiliki teman wanita telah mempunyai teman wanita dalam sekelip mata sahaja. Bukan seorang tetapi wanita keliling pinggang!

Bukan itu sahaja, mereka telah melancong ke segenap pelosok dunia tanpa pernah resah tentang kekurangan wang. Sebelum ini untuk ke luar negeri atau negara, mereka kena merancang perbelanjaan dengan teliti. Kadangkala terpaksa bercatu makanan untuk menjimatkan pengeluaran kewangan.

Kini, tiada yang mustahil. Tiada batasan dari segi duit seolah-olah mengalir begitu saja walaupun perbelanjaan terus bertambah luar dari kebiasaan.

Dalam beberapa hari, wang ajaib berpuluh-puluh ribu akan terus masuk ke dalam sebuah almari khas di rumah mereka, almari khas yang tidak dapat dicuri atau dicerobohi. Ia tidak mempunyai kunci dan hanya terbuka apabila kedua-dua tapak tangan mereka disentuh bersama.

Mereka pun diundang ke beberapa platform media sosial untuk berkongsi kejayaan luar biasa itu. Walau bagaimanapun, jawapan yang diberikan kelihatan sangat klisé, serupa dengan naratif usahawan yang telah berjaya membina empayar selama berpuluh tahun.

Tanpa disedari, bayangan misteri iaitu entiti tanpa wajah yang muncul di tempat-tempat ganjil. Ia ada di mana-mana sahaja. Bahkan ke tandas air sekalipun.

Kadangkala di atas siling memerhatikan mereka berdua tidur. Kadangkala bertengek di atas perabot. Sentiasa mengawasi setiap gerak-geri mereka dan akan kepanasan setiap kali mendengar lagu-lagu kerohanian dan ayat-ayat rohani.

Bola matanya bertukar merah dan menjelirkan lidah yang sangat panjang. Keluar sahaja dari rumah, bayang-bayang serupa entiti misteri akan meninggalkan rumah berkenaan.

Hanya rumah ibadat dan rumah yang telah dipagari sahaja menjadi tempat larangannya. Apabila mereka berdua ingin mengerjakan ibadat masing-masing, ada sahaja aral melintang terjadi.

Seolah-olah ingin mengagalkan rencana murni mereka. Akhirnya, kecundang. Akibatnya, mereka berhenti melakukan amal ibadat, seolah-olah pintu hidayah telah tertutup rapat.

 Entiti misterilah yang selama ini menjaga kehidupan mereka termasuklah mengatur pola tidur dan mimpi mula menjalankan tugasan hakikinya setelah mereka kembali ke dunia nyata melalui Portal 2.0.

Sejak dari itu, mimpi mereka berdua pun seakan-akan sama. Kerap bermimpi terjun dari bangunan tinggi, dikejar oleh lembaga seram, binatang buas dan yang lebih mengejutkan apabila masing-masing telah pun mempunyai ahli keluarga.

Namun, di mata Archo, isteri Hamprez serupa nenek kebayan. Di mata Hamprez pula, isteri Archo persis nenek si bongkok tiga. Anak-anak mereka pula kerdil dan hodoh. Langsung tidak serupa dengan paras rupa mereka berdua.

Tiada mimpi elok, hanya mimpi yang sama bersirkulasi tanpa hentinya. Mereka hanya lalui sahaja apa jua proses untuk meraih apa yang dihajati. Anggap sahaja perkara itu tidak menyakitkan sukma.

Pada masa yang sama, mereka mula merasakan penyesalan mendalam.

Nasib mereka telah ditetapkan oleh perjanjian gelap yang dibuat tanpa benar-benar difahami. Ritual syaitan yang mengikat mereka sebenarnya telah mengakibatkan pengorbanan darah dan persetujuan tanpa membaca secara holistik perjanjian tersebut.

Hal ini membawa kepada perubahan drastik dalam nasib mereka sekarang dan mungkin selama-lamanya.

 Kekayaan yang berlimpah seperti kereta mewah, rumah agam, dan jutaan wang telah muncul dengan ajaib tanpa henti. Namun, setiap keuntungan itu turut memendekkan usia mereka.

Kehidupan mereka yang kini penuh kemewahan juga menjadi simbol kepada kehancuran moral dan spiritual. Walaupun mereka dikenali ramai sebagai pempengaruh media sosial, mereka sebenarnya terperangkap dalam sistem yang menindas dan membinasakan.

Setiap tindakan dan keputusan dipantau secara rahsia oleh mata-mata jahat. Selain itu, terdapat perjanjian gelap yang telah mereka langgar. Sebuah ritual pada bulan purnama yang sepatutnya melibatkan pengorbanan enam ekor kelawar melalui bacaan mantera. Dibuat dan disertai dengan campur tangan bantuan kuasa jahat.           

Akhirnya, dengan pertolongan kuasa jahat, enam ekor kelawar diberikan kepada mereka berdua secara ajaib. Mereka telah pun berpijak di sebuah gua ditemani dengan lampu suluh. Perjalanan mereka berdua disingkatkan dengan kuasa gelap.

Mereka menyangkakan entiti tersebut ikhlas menolong, jadi mereka berdua tiada pemikiran yang songsang mengenai perbuatan tersebut.

Rupa-rupanya, media sosial mereka berdua telah digodam ketika itu dan menyebarkan propaganda kebencian akan agama dan membuat video dengan sendirinya berkaitan ajaran sesat beserta ritual yang memesongkan akidah. Akaun tersebut telah dikecam hebat dan tindakan undang-undang akan dijalankan.

Tanpa mereka sedari, kesemua wang yang beranak-pinak ke dalam almari khas mereka berdua tersebut merupakan wang yang telah dikumpul oleh syaitan sepanjang riwayat mereka berdua di muka bumi ini.

Hasil titik peluh mereka berdua seandainya tidak menggunakan kuasa syaitan. Justeru, riwayat mereka pun dipendekkan juga tanpa pengetahuan mereka berdua. Semakin banyak duit masuk, semakin pendek usia.

Sesungguhnya, syaitan tidak memberitahu kesan jangka panjang kepada mereka berdua terlebih dahulu. Sangat licik. Mereka berdua langsung tidak tahu akibat yang menimpa ke atas mereka berdua seandainya tidak melakukan ritual semasa bulan purnama.

Kebuntuan. Ketakutan. Tiada harapan. Segala kemewahan yang dikecapi semuanya ranah. Rumah agam telah terbakar sepenuhnya oleh litar pintas. Wang beratus-ratus ikat di dalam almari telah ghaib dari pandangan.

Emas-emas telah menjadi rebutan para wanita simpanan mereka menyebabkan mereka bertelagah antara satu sama lain dan akhirnya meringkuk di dalam penjara. Nama mereka berdua menjadi tumpuan utama kes paranormal sehingga ke luar negara.

Musibah tersebut sangat mustahil untuk diselesaikan oleh manusia biasa. Nipis peluang untuk membawa balik mereka ke dunia sebenar.

Hanya yang tinggi ilmu sahaja mampu berhadapan dengan keadaan sedemikian. Itu pun mungkin 50-50 sahaja. Ahli keluarga akur dan tabah menghadapi sahaja apa yang telah diaturkan.

Sebab itu, jangan sesekali berani menyahut cabaran yang pelik, boleh memudaratkan diri terutamanya apabila berhubung dengan makhluk dari alam angker. Lainlah sekiranya menyahut cabaran yang memberi manfaat kepada diri sendiri pada masa hadapan. Mungkin mereka dalam diam mengalami depresi disebabkan viralnya beberapa video di medsos mereka berdua tempoh hari.

Demikianlah kata-kata yang ditaip pada ruangan komen oleh beberapa orang pengikut setia mereka. Ada kejanggalan pada misteri tersebut. Tiada juga bukti menyokong wujudnya tangan-tangan manusia biasa.

“Aku tak berkenanlah dengan idea melakukan ritual yang jelas-jelas syirik dan menyimpang dari landasan agama yang sebenar…” Kata Archro cuba untuk mengubah pemikiran sahabatnya. Tidak mahu rasa serba salah membelenggu dirinya.  “Aku tak sedap hati bila…” tambahnya lagi. Mukanya pucat lesi bagaikan sehari semalam tidak makan.

“Kenapa baru sekarang kau tak berkenan? Bukankah dulu kau juga yang beriya-iya menyahut cabaran daripada followers kau untuk mencapai sasaran peribadi kau? Mahu raih jutaan followers dan juga viewers setiap kali melakukan aktiviti paranormal secara langsung di media sosial?

Sekarang ni kau macam tak puas hati dengan perkara yang telah sama-sama kita persetujui dan lakukan. Apa kau sudah lupa akan makna kesepakatan semasa membuat keputusan tempoh hari?”

Mempersoalkan Hamprez yang mulai berubah hati itu dengan harapan tiadanya unsur pengkhianatan dalam persahabatan mereka. Tercenggang. Sedikit terkilan.

“Aku akui aku agak terburu-buru membuat keputusan tanpa bertanya kepada yang arif mengenai soal ini. Aku manusia lemah dengan godaan semu seperti itu…tapi kau pun tak menegur…Sebaliknya, kau menyokong mentah-mentah…”

Balas Hamprez tanpa menatap mata sahabatnya. Terketar-ketar nadanya. Berbaki lima belas minit sebelum jam 6.30 petang, mereka berdua duduk di dalam sebuah kereta yang sengaja diparkir berdekatan dengan sebuah pepohon Ara gergasi.

Ahli keluarga dan penyelidik gagal mendapatkan bukti konkrit sehingga kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Semasa keluar dari bilik bedah selepas melakukan post mortem, ahli-ahli keluarga telah meraung dan ada yang pitam. Jasad mereka berdua tidak sempurna! Organ dalaman telah lesap.

Yang lebih aneh, di belakang badan mereka ditempelkan kod QR yang mendedahkan susur kehidupan serta video yang menunjukkan kehidupan baru mereka di alam lain.

Oleh Marilyn Albert Matu

Continue Reading

Previous: PUISI

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.