Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • MBKS naik taraf tandas awam mesra OKU di Pasar Petanak dan Taman Padungan
  • Selatan
  • WILAYAH

MBKS naik taraf tandas awam mesra OKU di Pasar Petanak dan Taman Padungan

Utusan Sarawak 9 hours ago
TERBAIK…Dato Wee Hong Seng bersama tetamu kehormat yang lain merakam gambar kenangan di hadapan kemudahan tandas awam mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Pasar Petanak, hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus menunjukkan komitmen dalam mempertingkatkan kemudahan awam apabila dua projek naik taraf tandas awam mesra orang kurang upaya (OKU) di Pasar Petanak, Jalan Petanak dan Taman Padungan, Jalan Padungan telah siap sepenuhnya dan kini boleh digunakan oleh orang ramai.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato’ Wee Hong Seng berkata, kedua-dua projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MBKS dalam memastikan kemudahan awam di kawasan tumpuan komuniti dan pelancong sentiasa selamat, bersih, mudah diakses serta bermaruah untuk semua lapisan masyarakat.

KEMUDAHAN tandas awam mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Pasar Petanak. Foto Norman B

Menurut beliau, Pasar Petanak yang dibina pada 1988 telah digunakan secara berterusan selama lebih tiga dekad sebagai pasar awam dan pusat penjaja, menjadikannya destinasi harian penting kepada peniaga, penduduk setempat serta pengunjung.

“Sehubungan itu, kemudahan di pasar yang telah lama beroperasi ini perlu sentiasa diselenggara dan dinaik taraf supaya kekal berfungsi, relevan serta memenuhi keperluan komuniti semasa,” katanya.

Beliau berkata, sebelum kerja naik taraf dijalankan, tandas awam Pasar Petanak terletak di tingkat satu dan menyukarkan pengguna kerusi roda, warga emas serta individu yang mempunyai kekangan mobiliti.

Menyedari kekangan tersebut, MBKS mengambil inisiatif menukar sebuah stor di aras bawah kepada tandas awam mesra OKU yang lebih selamat, mudah diakses dan selesa.

TINJAU…Dato Wee Hong Seng ketika meninjau kemudahan tandas awam mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Tandas Awam Taman Padungan, hari ini.Foto Norman B

Projek naik taraf di Pasar Petanak itu dibiayai menerusi peruntukan BP1 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kos keseluruhan RM80,880, melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian bagi memenuhi keperluan kebolehcapaian semasa serta meningkatkan keselesaan pengguna pasar.

Dalam pada itu, Dato Wee berkata, kerja-kerja naik taraf Tandas Awam Taman Padungan turut dilaksanakan bagi menyokong keperluan kawasan warisan dan tumpuan pelancong yang semakin sibuk.

Menurut beliau, Padungan merupakan antara kawasan tertua di Kuching dengan sejarah melebihi satu abad serta terkenal dengan rumah kedai warisan, bangunan bersejarah dan tarikan pelancongan seperti Monumen Kucing Putih, Menara Jam dan mural komuniti.

“Tandas awam di Taman Padungan kali terakhir dinaik taraf pada 1993 dan selepas lebih 30 tahun digunakan, pembaikan menyeluruh perlu dilakukan bagi memenuhi piawaian kebersihan, keselamatan, kebolehcapaian dan keselesaan pengguna masa kini,” jelasnya.

Skop kerja naik taraf di Taman Padungan merangkumi penambahbaikan kemudahan dalaman dan kawasan persekitaran termasuk penyediaan tandas mesra OKU, bilik menukar lampin bayi, pencahayaan yang lebih baik, laluan pejalan kaki, pavilion serta kerja-kerja berkaitan lain dengan kos keseluruhan RM174,250.

Menurut beliau, kedua-dua projek tersebut menekankan aspek keterangkuman sejajar dengan perubahan demografi bandar yang menyaksikan peningkatan jumlah warga emas serta keperluan golongan OKU dan keluarga dengan anak kecil.

“Inisiatif ini turut mencerminkan pendekatan ‘Sayangi Pasar Anda’ MBKS yang menumpukan kepada usaha mempertingkatkan infrastruktur pasar dan ruang awam bagi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selamat dan inklusif,” katanya.

Tambah beliau, pasar dan kawasan awam bukan sekadar tempat urus niaga atau riadah, sebaliknya merupakan ruang komuniti penting yang perlu memenuhi keperluan semua golongan termasuk warga emas, OKU, peniaga, penduduk setempat dan pelancong.

Kedua-dua projek naik taraf ini dibiayai menerusi peruntukan BP1 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sekali gus mencerminkan kerjasama berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan dalam meningkatkan infrastruktur awam demi kesejahteraan komuniti.

MBKS, katanya, akan terus komited menaik taraf kemudahan awam secara berperingkat bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di samping memelihara nilai sejarah dan budaya kawasan seperti Pasar Petanak dan Padungan untuk generasi akan datang.

Oleh Norman B

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Gangguan bekalan air tidak berjadual di Bekenu
Next: MPP pasang hiasan Krismas di mercu tanda Kota Padawan, lambang perpaduan masyarakat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.