KUCHING: Sebanyak RM13.65 juta pinjaman Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) telah diluluskan kepada seramai 415 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sarawak, setakat 11 September 2020.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (gambar) berkata, melihat kepada bertapa penting sumbangan produktiviti kepada ekonomi negeri dan negara, Kerajaan Sarawak semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi bantuan kewangan kepada PKS tempatan bagi memastikan mereka dapat meneruskan perniagaan mereka dan seterusnya meningkatkan mereka.
“Kerajaan Sarawak telah memberi subsidi kadar faedah (interest-subsidy) atau interest-free bagi SKMS dan Special Relief Fund (SRF).
“Setakat 11 September 2020, sebanyak RM13.65 juta pinjaman SKMS telah diluluskan kepada seramai 415 PKS. Manakala sebanyak RM944 juta pinjaman SRF telah diluluskan kepada 2,443 PKS,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Showcase Inovasi Team Excellence Peringkat Wilayah Sarawak (RISTEx) 2020, semalam.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata ia juga adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Sarawak bagi memastikan produktiviti di dalam bidang perniagaan terus meningkat walaupun dunia perniagaan berdepan dengan krisis akibat pendamik Covid-19.
Terdahulu, beliau mengatakan produktiviti adalah Game Changer di dalam Rancangan Malaysia ke Sebelas (RMK-11) 2016-2020 untuk menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi maju dan negara inklusif.
“Produktiviti adalah penting untuk kejayaan jangka panjang organisasi dan syarikat. Peningkatan produktiviti akan menambahbaik keupayaan daya saing serta keuntungan organisasi dan syarikat untuk memastikan perniagaan kekal relevan,” katanya.
Beliau menambah dalam usaha melonjakkan lagi produktiviti negara, pelbagai inisiatif telah diambil oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) antaranya usahasama strategik dengan kerajaan negeri dengan memperkenalkan satu program iaitu “Sarawak Produktif” yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Program “Sarawak Produktif” melibatkan pelbagai inisiatif produktiviti bagi merangsangkan pelaburan, ekonomi dan pendapatan negeri agar lebih berdaya saing.
“Antara inisiatif yang telah dijalankan oleh MPC Wilayah Sarawak di bawah program ini adalah menambahbaik Dasar Peraturan Negeri melalui program Good Regulatory Practices (GRP), membantu memberi khidmat nasihat kepada peniaga secara atas talian (online) melalui program Business Virtual Advisory Clinic (BVAC), meningkatkan kesedaran kepentingan digital melalui promosi dan program Industry 4.0; Readiness Assessment (RA); dan melaksanakan inisiatif Malaysia Mudah (#MyMudah) sebagai usaha dalam membantu syarikat dan perniagaan mengurang red tape dan karenah birokrasi,” kata beliau.
Mengenai program yang telah disertai oleh 25 kumpulan daripada 13 organisasi termasuk sektor awam dan swasta dengan penyertaan 300 peserta termasuk pemerhati, beliau mengatakan acara tahunan ini amatlah baik dikongsikan bersama manfaatnya oleh semua organisasi bagi memupuk budaya kreatif dan inovatif.
“Sehubungan dengan ini, besar harapan saya agar lebih banyak lagi organisasi untuk bersama-sama MPC bagi melaksanakan program peningkatan produktiviti dan inovasi melalui penambahbaikan proses kerja dan pengurusan Lean.
“Saya yakin, sumbangan tuan dan puan melalui kerjasama dengan MPC akan membantu pencapaian produktiviti,” kata beliau.
Turut hadir, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Mohd Naroden Majais dan Pengarah MPC Sarawak, Sarimah Misman.
Oleh Alexandra Lorna