
LUNDU: Hospital Lundu menerima sebuah mesin hemodialisis hasil sumbangan Sarawak Energy dengan kerjasama Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) bagi menampung keperluan rawatan dialisis yang semakin meningkat di kawasan itu.
Menurut kenyataannya yang dikeluarkan hari ini, sumbangan yang diserahkan pada 17 Disember lalu merupakan sebahagian daripada kerjasama berterusan Sarawak Energy dan SABATI di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat itu, khususnya menerusi fokus Pelaburan Komuniti dalam bidang Pembangunan Komuniti dan Keusahawanan.
Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Siti Aisah Adenan berkata, peningkatan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis menjadikan akses kepada peralatan perubatan yang boleh dipercayai semakin penting.
“Melalui kerjasama dengan SABATI, sumbangan ini membantu hospital menyediakan rawatan berterusan kepada pesakit, di samping mencerminkan komitmen berterusan Sarawak Energy dalam menyokong perkhidmatan kesihatan di seluruh negeri,” katanya.

Mesin hemodialisis tersebut diserahkan oleh Siti Aisah kepada Pengarah Hospital Lundu, Dr Chin Shi How, pada satu majlis ringkas yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan.
Selepas majlis penyerahan, para tetamu melawat wad dialisis hospital berkenaan dan mengagihkan beg cenderahati kepada pesakit sebagai tanda sokongan serta menyemarakkan suasana perayaan.
Kerjasama Sarawak Energy dan SABATI dalam bidang kesihatan bermula pada Jun 2020 menerusi sumbangan mesin hemodialisis kepada Hospital Kapit dan Hospital Lawas.
Sejak itu, pelbagai kemudahan perubatan di seluruh Sarawak menerima manfaat melalui sumbangan mesin ECG, mesin dialisis, ambulans, peralatan fundoskopi serta pembiayaan pembedahan katarak di Kapit, Mukah-Balingian, Sungai Asap Belaga, Murum dan Sri Aman.
Empat hospital lagi iaitu di Miri, Bintulu, Mukah dan Sarikei dijadual menerima mesin hemodialisis pada 2026.
Usaha CSR Sarawak Energy berpandukan empat bidang tumpuan Pelaburan Komuniti iaitu Pendidikan dan Golongan Muda, Pengurusan dan Pemuliharaan Alam Sekitar, Budaya dan Warisan serta Pembangunan Komuniti dan Keusahawanan, selaras dengan komitmen syarikat itu untuk memberi manfaat mampan kepada komuniti yang dilayani.
Turut hadir Dayang Norjihan Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, anak kepada Premier Sarawak, Bendahari Kehormat SABATI, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin serta Pengurus Besar Kelestarian Sarawak Energy, Mohamad Irwan Aman.