


SPAOH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Spaoh malam ini mempergiat pemantauan susulan Monsun Timur Laut (MTL) dan fenomena air pasang besar (King Tide) bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berisiko banjir, khususnya di Kampung Manggut.
Menurut kenyataan APM Daerah Spaoh, pemantauan dan tinjauan telah dijalankan di beberapa kawasan titik panas (hotspot) banjir serta kawasan rendah yang sering terjejas akibat kenaikan air pasang besar, malam ini.
Skuad Pemantau Monsun Timur Laut (MTL) bersama Skuad Alpha telah digerakkan ke Kampung Manggut bagi menilai situasi semasa paras air dan keadaan laluan utama penduduk setempat
Hasil pemantauan mendapati jalan utama Kampung Hulu dinaiki air ekoran kenaikan air pasang besar setinggi 5.6 meter, dengan paras air mencecah sekitar buku lali, namun keadaan dilaporkan masih terkawal dan tidak menjejaskan pergerakan penduduk secara serius.
APM Daerah Spaoh memaklumkan bahawa fenomena air pasang besar setinggi 5.6 meter dijangka berterusan sehingga Rabu ini sebelum paras air mula menunjukkan trend penurunan pada hari-hari berikutnya.
Sehubungan itu, anggota APM akan terus berada dalam keadaan siap siaga dan pemantauan berkala akan diteruskan bagi memastikan sebarang perubahan mendadak dapat ditangani dengan segera.
Dalam pada itu, penduduk sekitar dinasihati agar sentiasa berhati-hati, berwaspada serta mengikuti perkembangan cuaca dan paras air melalui saluran rasmi termasuk laman media sosial APM Spaoh, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak.
Oleh Adi Safarman