
KUCHING: Kumpulan Sukarelawan Pekerja Belia Gereja Tuhan, ASEZ WAO, melaksanakan aktiviti pembersihan komuniti menerusi Projek Green Earth di Lorong Dogan, Sunny Park di sini, semalam.
Usaha tersebut bertujuan memperbaiki persekitaran setempat serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Aktiviti tersebut disertai lebih 30 sukarelawan terdiri daripada ahli ASEZ WAO bersama ahli keluarga, rakan serta rakan sekerja mereka yang meluangkan masa cuti bagi menjayakan program berkenaan demi manfaat komuniti.
ASEZ WAO merupakan sebuah organisasi sukarelawan belia antarabangsa di bawah Persatuan Misi Dunia Gereja Tuhan, yang membawa maksud ‘Selamatkan Bumi dari Awal hingga Akhir, Kita Adalah Satu Keluarga’.

Menurut penganjur, aktiviti pembersihan tersebut berlangsung selama dua jam bermula 10.00 pagi, melibatkan kawasan sepanjang hampir tiga kilometer di sekitar Sunny Park Commercial Center.
Hasil usaha bersepadu para sukarelawan, sebanyak 2,500 kilogram sampah berjaya dikumpulkan, termasuk sisa plastik seperti cawan dan straw, beg plastik, puntung rokok serta tin minuman yang mencemarkan kawasan berkenaan.
Seorang wakil ASEZ WAO berkata, penglibatan aktif golongan belia dalam kerja-kerja kesukarelawanan mampu memberi impak positif bukan sahaja kepada kebersihan kawasan, malah meningkatkan tahap kesedaran alam sekitar dalam kalangan penduduk setempat.

“Kami berharap penyertaan sukarela golongan belia ini dapat membantu mengekalkan kebersihan komuniti serta meningkatkan kesedaran penduduk terhadap kepentingan menjaga alam sekitar bagi mewujudkan perubahan yang positif dan masa depan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, seorang sukarelawan yang terlibat menyatakan rasa bangga kerana dapat menyumbang khidmat kepada komuniti walaupun pada hari cuti, sambil menyifatkan aktiviti berkenaan sebagai cara terbaik mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah.
ASEZ WAO terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif alam sekitar di peringkat tempatan dan antarabangsa, antaranya Projek Green Earth dan Blue Ocean yang memberi tumpuan kepada aktiviti pembersihan kawasan bandar, taman, sungai, laut dan pergunungan.
Selain itu, organisasi tersebut turut melaksanakan Projek Mother’s Forest yang memfokuskan usaha penanaman pokok bagi mengurangkan pelepasan karbon, serta kempen 2040 Plastic-Free yang bertujuan mencegah dan mengurangkan pencemaran plastik.
Di Malaysia, ASEZ WAO telah melaksanakan pelbagai aktiviti alam sekitar termasuk pembersihan di Pantai Lutong, Sarawak, Peace Park di Kota Kinabalu, Sabah, Bandar Sunway di Petaling, Selangor serta kawasan Danau Kota di Kuala Lumpur.

Organisasi itu juga menanam 200 batang pokok di Taman Skudai, Johor Bahru sebagai usaha menangani perubahan iklim.
Selain aktiviti pemuliharaan alam sekitar, ASEZ WAO turut melaksanakan program mencantikkan kawasan komuniti, termasuk melukis mural sepanjang 20 meter di dinding Dewan Komuniti Taman Mesra Bako di Kuching bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan menarik untuk penduduk setempat.
Atas usaha sukarela dan komitmen berterusan, ASEZ WAO telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah daripada kerajaan serta organisasi antarabangsa, termasuk Anugerah Perkhidmatan Sukarela Presiden Amerika Syarikat, Anugerah Green World dan Anugerah Green Apple.
Di peringkat nasional, organisasi tersebut turut menerima sijil penghargaan daripada Ahli Parlimen, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Bandar Johor Bahru, Subang Jaya, Iskandar Puteri dan Kota Kinabalu, selain Pengarah Pusat Darah Negara.
ASEZ WAO merupakan sebahagian daripada Persatuan Misi Dunia Gereja Tuhan, sebuah gereja global yang telah ditubuhkan di lebih 7,800 lokasi di 175 negara.
Berlandaskan ajaran kasih sayang terhadap sesama manusia, Gereja Tuhan telah melaksanakan lebih 45,000 aktiviti sumbangan sosial di seluruh dunia merangkumi bantuan bencana, derma darah, sokongan pendidikan dan perlindungan alam sekitar.