CHERYL LAW
KUCHING: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM (Angkatan Tentera Malaysia) Cawangan Negeri Sarawak merupakan Jabatan yang menguruskan hal kebajikan dan pengurusan berkaitan veteran ATM khususnya di Sarawak.
Program Derma Darah Veteran ATM Negeri Sarawak ini adalah kerjasama pihak JHEV ATM Negeri Sarawak, pihak Tabung Darah Hospital Umum Sarawak serta semua Persatuan Veteran ATM di negeri ini.
JHEV ATM Cawangan Negeri Sarawak dalam satu kenyataan berkata, Program Derma Darah Veteran ATM Negeri Sarawak akan diadakan di tiga lokasi utama iaitu di Kuching, Sibu dan Miri, manakala peserta veteran yang menderma darah juga adalah mereka yang tinggal dari kawasan tersebut.
Menurut kenyataan JHEV ATM Cawangan Negeri Sarawak, objektif utama program ini adalah untuk membantu pihak hospital dalam menampung keperluan darah berikutan kurangnya penderma darah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ditambah pula umat Islam akan berpuasa tidak lama lagi.
“Selain daripada itu, objektif program ini adalah untuk meningkatkan imej veteran ATM itu sendiri yang sentiasa bersedia untuk menyumbang khidmat bakti meskipun telah bersara dan menamatkan perkhidmatan dengan cara menderma darah untuk masyarakat,” demikian menurut kenyataan berkenaan.
Pelaksanaan Program Derma Darah Veteran ATM Negeri Sarawak yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Negeri Sarawak adalah di Kuching dan Sibu pada 21 April 2020 dan Miri pada 23 April 2020.
Sementara itu, tempat pula di Kuching adalah Kuching Dewan Masyarakat MBKS, Kuching, Sarawak, di Sibu adalah Pusat Tabung Darah Hospital Sibu dan di Miri adalah Pusat Tabung Darah Hospital Miri. Masanya adalah dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Seramai 74 penderma bagi kawasan Kuching, 13 penderma bagi kawasan Sibu dan 10 penderma bagi kawasan Miri.