

ROBAN: Rumah Edmund Kumbong di Sungai Ruan, di sini bakal mempunyai sebuah Pusat Komuniti baharu bernilai RM100,000 sebagai usaha memperkasa kemudahan awam dan meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata pembinaan pusat komuniti itu memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara inklusif dan seimbang.
Menurut beliau, projek berkenaan akan dilaksanakan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan asas serta infrastruktur komuniti di kawasan pedalaman.
Katanya, pelaksanaan projek tersebut akan dipantau oleh agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok bagi memastikan kerja pembinaan berjalan mengikut spesifikasi serta piawaian yang ditetapkan.
Dalam pada itu, kontraktor bagi projek berkenaan telah dilantik menerusi proses cabut undi yang dilaksanakan oleh Pejabat Residen Bahagian Betong, selaras dengan prosedur yang telah ditetapkan.
Semalam, satu majlis ringkas serah tapak projek telah diadakan dan disempurnakan oleh Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad yang mewakili ADUN Kalaka.
Mohamad Duri berharap agar pembinaan Pusat Komuniti tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang halangan serta disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Beliau turut menegaskan bahawa kemudahan berkenaan dijangka menjadi pusat aktiviti masyarakat setempat, sekali gus mengukuhkan hubungan sosial serta menyokong pelaksanaan program kemasyarakatan di kawasan Rumah Edmund Kumbong.
Oleh Adi Safarman