
TOKYO: Gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter melanda luar pesisir Wilayah Aomori di utara Jepun pada Ahad, lapor Xinhua memetik agensi kaji cuaca negara itu.
Gegaran berlaku pada 10.29 pagi waktu tempatan di luar pesisir Pasifik Aomori pada kedalaman 50 kilometer, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Pusat gempa dikenal pasti pada latitud 40.7 darjah utara dan longitud 142.3 darjah timur.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Walaupun amaran selama seminggu berhubung peningkatan risiko gempa bumi kuat telah ditarik balik pada Isnin susulan gempa 7.5 pada skala Richter yang melanda kawasan utara dan timur laut Jepun pada 8 Dis lalu, pegawai JMA menggesa orang ramai supaya terus berwaspada.
— BERNAMA-XINHUA