BOGOTA: Barbados, sebuah negara kepulauan kecil di Caribbean dengan jumlah penduduk sekitar 300,000 pada Rabu mengumumkan akan mengakhiri peranan Ratu Elizabeth sebagai ketua negara menjelang November tahun depan ketika berusaha melepaskan negara ini daripada sejarah penjajahan lapor agensi Anadolu.
“Masanya sudah tiba untuk kita meninggalkan sepenuhnya penjajahan masa lalu,” kata Gabenor Jeneral Barbados Sandra Mason, dalam ucapannya mewakili Mia Mottley, yang terpilih sebagai perdana menteri wanita pertama negara itu pada 2018.
“Penduduk Barbados mahukan warga Barbados sebagai ketua negara. Ini adalah kenyataan menunjukkan keyakinan mengenai siapa kita dan apa yang mampu kita capai. Oleh itu, Barbados akan mengambil langkah seterusnya ke arah mendapatkan kedaulatan sepenuhnya dan menjadi sebuah republik pada saat kita meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-55, ” kata Mason.
Walaupun Barbados memperoleh kemerdekaannya daripada British pada 1966, ia mengekalkan hubungan rasmi dengan monarki seperti negara-negara lain yang dulunya menjadi sebahagian kerajaan Inggeris.
Ratu adalah ketua negara United Kingdom dan 15 negara lain yang sebelumnya berada di bawah pemerintahan Inggeris, termasuk Australia, Kanada, New Zealand, Jamaica, Antigua dan Barbuda, Bahama, Belize, Grenada, Papua New Guinea, dan wilayah lain.
Negara terakhir yang mengakhiri Ratu Elizabeth II sebagai ketua negara setelah merdeka adalah Mauritius pada 1992.
Mengikut perancangan, Barbados akan bergabung dengan Trinidad dan Tobago, Guyana, Suriname dan Dominica sebagai negara menyaksikan ketua negara adalah presiden yang dipilih. Jamaica mengatakan ia adalah langkah yang mungkin diambil negara itu tidak lama lagi.
Ketika ditanya mengenai perkara berkenaan, Istana Buckingham enggan mengulas panjang mengenai hal itu dan mengatakan ia adalah urusan rakyat Barbados.
Tetapi ini bukan kali pertama Barbados berniat menjadi republik. Isu ini telah dibincangkan sejak 1998, tetapi tidak pernah diselesaikan.
Ratu Elizabeth jarang mengunjungi pulau itu, dan fungsi upacara pejabat baginda biasanya dilakukan oleh gabenor jeneral.
Barbados antara pulau paling makmur dan berpenduduk padat di Caribbean yang ekonominya banyak bergantung kepada pelancongan.- Bernama