
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa ibubapa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban supaya menggalakkan anak-anak mereka belajar dengan lebih tekun dan berdisiplin.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi melayakkan mereka menyertai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), yang membuka laluan ke universiti milik Sarawak dalam bidang berimpak tinggi.
Berucap pada Makan Malam Gala Krismas 2025 anjuran Kelab Anak Bukit Saban di sini malam tadi, Uggah berkata FTES ditawarkan khusus kepada anak Sarawak yang memenuhi syarat kemasukan, merangkumi 64 kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), undang-undang, kewangan dan bidang berkaitan.
Beliau menegaskan peranan ibubapa amat penting dalam memastikan peluang tersebut tidak disia-siakan, termasuk membina budaya belajar konsisten di rumah dan menetapkan sasaran akademik sejak di bangku sekolah.



“Saya mahu ibubapa ambil peluang ini dengan serius dan dorong anak-anak belajar bersungguh-sungguh supaya layak memasuki universiti milik Sarawak,” katanya.
Uggah turut mengingatkan bahawa permohonan FTES tidak melalui Unit Pusat Universiti (UPU), justeru ibu bapa dan pelajar perlu peka terhadap saluran serta keperluan permohonan yang ditetapkan.
Bagi meningkatkan kesiapsiagaan pelajar di Bukit Saban, kelas tuisyen akan dianjurkan bagi mengukuhkan prestasi akademik dan memperluas peluang menyertai FTES.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan meneruskan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) pada tahun depan dengan kadar ditingkatkan kepada RM950 bagi setiap isi rumah, RM500 untuk warga emas dan RM300 bagi bujang.
Bantuan lain termasuk Bantuan Ibu Bersalin (BIB) serta insentif RM1,000 bagi setiap kelahiran anak turut diteruskan.
Menyentuh pembangunan setempat, Uggah berkata projek Bebuling Stolport dijadual siap tahun hadapan. Bantuan pertanian seperti baja lada dan sawit serta penanaman semula sawit akan diteruskan, manakala sektor pelancongan bakal diperkasa menerusi pembinaan replika Kubu Rentap bagi merangsang pendapatan penduduk.
Beliau juga memaklumkan aktiviti di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bukit Saban di BDC akan diteruskan, termasuk kursus penggunaan telefon pintar agar warga emas tidak ketinggalan dalam ekonomi digital, selain kemudahan seperti mesin latihan ping pong automatik.
Warga emas turut disaran mendapatkan vaksin influenza percuma di Klinik Dr Belle yang ditaja beliau bersama Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
Bagi golongan belia, Uggah menggesa penganjuran kursus pengucapan awam, program motivasi dan pembangunan kerjaya bagi memperkukuh daya saing anak muda Bukit Saban.
Majlis turut dihadiri isteri beliau Datin Amar Dato Moreen Mayang serta pemimpin dan warga DUN Bukit Saban.
Oleh Adi Safarman