
BINTANGOR: Projek pembinaan baharu gelanggang berbumbung Gereja Kai Nguong Methodist bernilai RM300,000 akan dilaksanakan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah hadir menyaksikan penyerahan tapak projek RTP tersebut kepada pihak kontraktor pada semalam.
Katanya, kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memastikan kemudahan awam dan rumah ibadat di kawasan Meradong terus diperkasa demi kesejahteraan masyarakat setempat.
“Pelaksanaan projek itu bertujuan menyediakan kemudahan gelanggang berbumbung yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk kegunaan aktiviti keagamaan, sosial serta kemasyarakatan oleh ahli gereja dan penduduk sekitar.
“Ia akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan, bermula dua minggu dari tarikh penyerahan tapak dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 7 Jun 2026,” katanya ketika ditemui media.
Beliau turut mengingatkan pihak kontraktor supaya melaksanakan kerja pembinaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan serta mematuhi jadual pelaksanaan bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan sempurna dan berkualiti.
“Saya berharap agar projek bina baharu gelanggang berbumbung ini dapat memberi manfaat jangka panjang serta menjadi pusat aktiviti yang mengeratkan hubungan dan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.
Turut hadir Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei, Siti Anastasya Saili; Pemanca Yii Hee Sieng; serta Kapitan Ting Pang Keng.
Oleh Earl Anek