

SIBU: Isu integriti, disiplin serta pelaksanaan tugas secara amanah dan beretika menjadi antara perkara utama ditekankan dalam Dialog Bulanan bagi Disember 2025 peringkat Penjara Pusat Sibu (PPS), baru-baru ini.
Pengarah PPS, PP Celestine Jubang Paul berkata, setiap pegawai dan kakitangan perlu mengekalkan disiplin yang tinggi serta menjadi contoh teladan yang baik dalam menjalankan tugas harian demi imej dan kredibiliti jabatan.
“Saya mengingatkan semua warga kerja agar sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi serta mematuhi tatacara kerja yang telah ditetapkan, khususnya dalam memastikan integriti perkhidmatan sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap mempengerusikan dialog tersebut yang berlangsung di Kantin Kakitangan PPS.
PP Celestine turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan atas komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang 2025, terutama dalam menjayakan pelbagai tugas dan program institusi.
“Saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat bercuti dan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada warga kerja yang meraikannya,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan penyampaian dana secara one-off berjumlah RM1,000 kepada beberapa kelab dan unit institusi sebagai sokongan kepada pelaksanaan program dalaman kakitangan bagi tahun hadapan.
Oleh Akun Giman