
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menyerahkan geran Unit Untuk Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM300,000 bagi Projek Penyelenggaraan Sekolah Kebangsaan (SK) St Michael Plassu 2025 dalam satu majlis ringkas di sekolah berkenaan, hari ini.
Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri Guru Besar SK St Michael Plassu, Jackson Paul Jackson, serta Pengerusi Lembaga Sekolah SK St Michael Plassu, William Ungom Agam.
Beliau menzahirkan rasa syukur atas ilham Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem melalui penubuhan UNIFOR yang disifatkan sebagai satu inisiatif amat bermakna dalam membantu sekolah-sekolah mubaligh di Sarawak, khususnya dari segi penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur pendidikan.

Beliau berharap peruntukan geran UNIFOR itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk para pelajar serta warga pendidik SK St Michael Plassu.
Menurutnya, kerajaan Sarawak kekal komited dalam menjaga kebajikan semua institusi pendidikan tanpa mengira latar belakang, selaras dengan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Tambah beliau, usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem pendidikan mencerminkan keutamaan terhadap pembangunan modal insan sebagai teras kemajuan Sarawak.