
KUCHING: Pasukan RISDA Bahagian Betong muncul juara Pertandingan Badminton Piala Pengarah RISDA Negeri Sarawak 2025 selepas menewaskan pasukan RISDA Limbang pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Badminton Persatuan Badminton Bumiputera Sarawak (PBBS), dekat sini, hari ini.
Pada aksi kemuncak kejohanan itu, RISDA Betong mempamerkan persembahan konsisten dan bertenaga untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas RISDA Limbang, sekali gus mengesahkan kejuaraan edisi kali ini.
Kemenangan tersebut membuktikan tahap persiapan rapi serta semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan pemain RISDA Betong sepanjang kejohanan berlangsung.
Sementara itu, pasukan Pejabat RISDA Negeri Sarawak dan RISDA Sibu masing-masing berkongsi tempat ketiga selepas kedua-dua pasukan terhenti di peringkat separuh akhir.

Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan RISDA, Md Najip Ishak ketika hadir pada Program Libat Urus Pembangunan RISDA Sarawak bagi 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Majlis penyampaian hadiah itu turut diserikan dengan kehadiran Pengarah RISDA Negeri Sarawak, Shaharuddin Saberi, serta pegawai-pegawai kanan RISDA dari seluruh negeri.
Sementara itu, Pengurus pasukan RISDA Betong, Shahrul Redzuan Shahruddin meluahkan rasa gembira dan bangga atas kejayaan pasukannya bergelar juara, sambil memuji komitmen serta disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh para pemain.
Beliau berkata, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama erat seluruh pasukan, termasuk barisan pemain dan pengurusan yang sentiasa memberi sokongan padu sepanjang kejohanan.
Pada edisi kali ini, sebanyak lapan pasukan dari seluruh Sarawak telah menyertai Pertandingan Badminton Piala Pengarah RISDA Negeri Sarawak 2025, sekali gus menjadikannya platform penting untuk mencungkil bakat serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga RISDA.
Oleh Adi Safarman