Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Final Jelajah Dunia 2025: Pearly-Thinaah lepasi halangan pertama
  • SUKAN

Final Jelajah Dunia 2025: Pearly-Thinaah lepasi halangan pertama

Utusan Sarawak 6 hours ago
Pearly-Thinaah buka langkah kanan di Final Jelajah Dunia 2025.

KUALA LUMPUR: Berbekalkan kejayaan memenangi pingat emas acara beregu wanita di Sukan SEA 2025, pasangan Pearly Tan-M. Thinaah memulakan kempen Final Jelajah Dunia 2025 dengan cemerlang, apabila menewaskan pasangan ranking keempat dunia Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian pada aksi Kumpulan A di Hangzhou, China, hari ini.

Pasangan nombor dua dunia itu, menampilkan persembahan meyakinkan dengan kemenangan 21-17, 21-11 ke atas wakil tuan rumah dalam tempoh 46 minit.

Kemenangan tersebut amat bermakna buat Pearly-Thinaah, yang kini semakin merapatkan jurang rekod pertemuan mereka dengan kedudukan terkini 2-5.

“Saya rasa sudah tentu kami gembira dengan kemenangan ini, kerana kami benar-benar membuat persiapan rapi khusus untuk Final Jelajah Dunia ini.

“Kami hanya mahu bermain tanpa sebarang masalah di gelanggang, berkomunikasi dengan baik apabila keadaan tidak memihak kepada kami, berbincang dan saling memberi sokongan. Saya rasa perkara itulah yang banyak membantu kami,” kata Thinaah menerusi rakaman Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikongsi kepada media hari ini.

Esok, pasangan pilihan utama kejohanan itu akan berhadapan pasangan ranking keenam dunia dari Jepun Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, dengan sasaran untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir lebih awal sebelum menutup kempen Kumpulan A menentang satu lagi pasangan Jepun Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.

Sementara itu, dalam aksi beregu campuran Kumpulan B, pertembungan antara dua pasangan Malaysia menyaksikan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 21-13, 21-13 dalam masa 41 minit.

Pasangan juara dunia Tang Jie-Ee Wei pula akan menentang wakil Indonesia Jafar Hidyatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu, sebelum berhadapan pasangan nombor satu dunia dari China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam perlawanan terakhir kumpulan mereka.

Bagi Soon Huat-Shevon pula, kemenangan ke atas pasangan Yan Zhe-Dong Ping esok amat penting, sekiranya mereka mahu terus menghidupkan peluang untuk mara ke separuh akhir.- Bernama

Continue Reading

Previous: Sukan SEA: Dua tahun sertai silat, Ummi Mashitah cipta kejayaan luar biasa rangkul emas
Next: Sukan SEA 2025: ‘Sumandak’ Angie raih emas Wai Kru, atasi juara dunia dari Thailand

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.