
BINTANGOR: Pendidikan berkualiti serta sokongan padu warga sekolah terus memacu kecemerlangan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Tee, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, majlis yang diadakan pada hari ini adalah simbol kecemerlangan, usaha berterusan dan semangat kekitaan seluruh warga sekolah.
“Tahniah kepada pihak pentadbir sekolah terutamanya guru besar dan warga pendidik atas komitmen serta dedikasi tinggi dalam membimbing murid dan memastikan kualiti pendidikan di sekolah ini sentiasa terpelihara.
“Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada ibu bapa dan penjaga atas sokongan serta kerjasama berterusan kepada anak-anak mereka dan pihak sekolah.

“Kejayaan murid hari ini tidak akan tercapai tanpa dorongan padu daripada keluarga,” katanya ketika berucap di majlis apresiasi akademik, sahsiah dan kokurikulum serta Graduasi Tahun 6 SJKC Ming Tee 2025, hari ini.
Tambahnya, kejayaan murid yang diraikan bukan datang dengan mudah, sebaliknya merupakan hasil usaha gigih, disiplin serta kesungguhan mereka untuk terus belajar dan berjaya.
“Dalam era moden ini, murid perlu menguasai lebih daripada sekadar akademik, termasuk kemahiran abad ke-21 seperti kreativiti, inovasi, komunikasi dan kerja berpasukan.

“Oleh itu, saya amat menyokong usaha sekolah memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan berbangga melihat penyertaan murid-murid SJKC Ming Tee dalam pelbagai pertandingan seperti robotik dan dron, kerana program sebegini bukan sahaja mencungkil bakat mereka, tetapi turut membuka peluang untuk memahami dunia teknologi masa hadapan,” katanya.
Koung Hiing turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha sekolah membangunkan ekosistem STEM, menyediakan peluang pembelajaran baharu serta membantu murid bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan akan menyumbangkan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM3,000 kepada SJKC Ming Tee bagi pelaksanaan aktiviti tahunan 2026.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa skrin LED di pentas Dewan SJKC Ming Tee akan dipasang menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti harian persekolahan pada masa akan datang.
Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Meradong, Joseph Ling Sui Ying; Guru Besar SJKC Ming Tee, Ong Yi Ting; Pengerusi Lembaga Pengelola SJKC Ming Tee, Hu Lik King serta Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Ming Tee, Tie Sing Leh.
Oleh Earl Anek