
LISBON, Portugal: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes, mendedahkan kepada media Portugal bahawa kelab Liga Perdana itu mahu melepaskannya pada musim panas lalu selepas menerima minat daripada kelab di Arab Saudi.
Namun, pemain berusia 31 tahun itu berkata pengurus Ruben Amorim masih menaruh harapan terhadapnya, sekali gus meyakinkannya untuk kekal di Old Trafford.

“Semangat dan empati saya terhadap kelab tetap sama, tetapi sampai satu tahap wang menjadi lebih penting bagi mereka daripada anda,” kata Fernandes kepada saluran Canal 11 milik Persekutuan Bola Sepak Portugal, semalam.
“Kelab mahu saya pergi. Saya beritahu pengarah dan saya fikir mereka tidak berani membuat keputusan itu kerana jurulatih mahukan saya. Tetapi jika saya kata mahu pergi, walaupun jurulatih mahu saya kekal, kelab pasti akan lepaskan saya.”
Fernandes, yang telah menjaringkan 103 gol dalam 307 penampilan untuk United sejak tiba pada 2020, turut mengakui kecewa dengan sikap pengurusan kelab yang seolah-olah bersedia berpisah dengannya.
“Perasaan yang saya dapat daripada kelab ialah, ‘jika kamu pergi, ia tidak terlalu buruk bagi kami’. Itu sedikit melukakan hati saya,” katanya seperti dipetik akhbar sukan Portugal, A Bola.
Beliau turut mengakui pernah mempertimbangkan untuk berhijrah ke Arab Saudi, mengikuti jejak rakan senegara Cristiano Ronaldo yang berpindah ke sana pada 2023 selepas perpisahan penuh kontroversi dengan United. -AFP