
MIRI: Dalam landskap media yang semakin mencabar dan pantas, pengamal media diingatkan agar tidak mengabaikan prinsip tanggungjawab serta ketepatan fakta demi kepentingan masyarakat.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, media memainkan peranan penting sebagai ejen perubahan masyarakat, khususnya dalam menyokong pembangunan dan kemajuan sosial di utara Sarawak.
Menurut beliau, laporan yang bertanggungjawab dan konstruktif mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat ke arah lebih positif serta membantu memperkukuh keharmonian sosial.
“Dalam era penyebaran maklumat tanpa sempadan, semakan fakta yang teliti amat penting bagi mengelakkan penularan maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis PraKrismas Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) yang berlangsung di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Seramai 47 pengamal media utara Sarawak hadir memeriahkan majlis tersebut.
Oleh Liong Chai Ling