
SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, menegaskan bahawa peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) daripada beliau telah diagihkan secara menyeluruh kepada sekolah-sekolah di kawasan itu.
Menurutnya, pelbagai pembangunan telah dilaksanakan termasuk pembinaan dewan sekolah baharu, baik pulih dewan sedia ada, baik pulih bilik darjah, pembinaan susur gajah baharu, naik taraf jalan sekolah, serta pembinaan dataran kegiatan pelbagai guna.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit yang berlangsung baru-baru ini, menekankan bahawa pembangunan infrastruktur sekolah penting bagi menyokong pembelajaran pelajar.


“Pembangunan ini adalah hasil peruntukan RTP yang diberikan kepada sekolah-sekolah bagi memastikan para pelajar menikmati persekitaran pembelajaran yang selesa dan selamat,” katanya.
Mong turut memaklumkan bahawa polisi kerajaan Sarawak pada tahun hadapan adalah untuk menyediakan pendidikan percuma bagi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi milik kerajaan Sarawak.
Beliau menasihati semua anak jati Sarawak agar memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin kerana kerajaan akan menyediakan kemudahan kewangan bagi meringankan kos pengajian tinggi.
Pada majlis tersebut, Mong turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 bagi SK Kem Pakit untuk tahun hadapan, sebagai sokongan tambahan kepada pembangunan sekolah.
Turut hadir pada majlis itu ialah Guru Besar SK Kem Pakit, Ahmad Faizal Osman; Pegawai Memerintah 13 RAMD Kem Pakit, Leftenan Kolonel Mohd. Firdaus Umar, yang juga merupakan Yang Dipertua SK Kem Pakit; Penghulu Anthony Jiram Sampek; para guru, ibu bapa dan murid.
Oleh Adi Safaraman