
BINTANGOR: Sebanyak 24 pasukan dari Daerah Meradong dan Sarikei mengambil bahagian dalam Pertandingan Pickleball 2025 – Beregu Campuran Tertutup, sekali gus menyerlahkan sambutan memberangsangkan terhadap penganjuran acara tersebut.
Hadir bagi merasmikan majilis penutupan pertandingan tersebut pada petang semalam ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur iaitu Kelab Pickleball Meradong dengan kerjasama Saberkas Cawangan Meradong atas kejayaan melaksanakan pertandingan.
“Saya amat menghargai komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh pihak penganjur dalam memastikan kelancaran penganjurannya.
“Terima kasih juga kepada Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Tee, Ong Yi Ting kerana menyediakan kemudahan dan sokongan yang amat diperlukan bagi menjayakan pertandingan ini,” katanya.
Katanya, penglibatan aktif para pasukan yang bertanding serta semangat kesukanan yang dipamerkan jelas membuktikan bahawa sukan pickleball semakin diterima dan kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan daripada pelbagai lapisan.
“Pertandingan seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah turut memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan dalam komuniti kita.
“Saya berharap usaha pembangunan sukan pickleball dapat diteruskan dan diperkembangkan lagi supaya lebih ramai anak muda serta penduduk tempatan dapat turut serta dan menikmati manfaatnya,” katanya.
Koung Hiing turut menyampaikan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM3,660 bagi pemasangan 12 unit lampu LED gelanggang Kelab Pickleball Meradong di SJKC Ming Tee.
Turut hadir Pengerusi Kelab Pickleball Meradong, Ley Chee Hua; Naib Pengerusi Kelab Pickleball Meradong yang juga Pengerusi Pengelola Pertandingan Pickleball 2025 – Beregu Campuran Tertutup, Leong King Yung; Guru Besar SJKC Ming Tee, Ong Yi Ting dan wakil Saberkas Cawangan Meradong, Abang Husen.
Oleh Earl Anek