
MIRI: Petronas melaksanakan dua inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Program Memperkasakan Ilmu: Kembali ke Sekolah dan Petronas Memacu Kehidupan bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan di Lambir, di sini khususnya menjelang sesi persekolahan baharu dan sambutan Krismas.
Menerusi Program Memperkasakan Ilmu, seramai 300 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lambir Village menerima set persekolahan lengkap yang merangkumi pakaian seragam, kasut sekolah, beg, bekas pensel serta alat tulis asas.
Sementara itu, Program Petronas Memacu Kehidupan memberi tumpuan kepada bantuan makanan asas kepada 120 isi rumah di kawasan Lambir, bertujuan membantu persediaan sambutan Krismas serta mengurangkan beban kos sara hidup harian.
Kedua-dua program ini dilaksanakan bagi memastikan komuniti luar bandar menerima manfaat secara menyeluruh, selaras dengan teras Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak dalam memperkasa modal insan serta membina komuniti yang inklusif dan berdaya tahan.
Pelaksanaan inisiatif ini turut diperkukuhkan menerusi kerjasama strategik bersama rakan pemegang taruh termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKM).
Majlis penyerahan rasmi disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Datuk Dr Ripin Lamat.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Kanan Petronas Carigali Sdn Bhd-Aset Sarawak, Shalby Reduan serta Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu.
Oleh Liong Chai Ling