
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Perak dan Sabah dilaporkan pulih sepenuhnya petang ini, dengan semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup dan mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, manakala Sarawak terus mencatatkan penurunan jumlah mangsa.
Di Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak di Hilir Perak yang menempatkan empat mangsa daripada satu keluarga, ditutup pada 1 tengah hari tadi.
Sementara itu di Sabah, banjir di Sandakan juga pulih apabila 59 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pertanian, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut sepenuhnya dan kediaman penduduk selamat untuk didiami.
Di Sarawak, JPBN melaporkan setakat 4.00 petang ini, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 127 orang daripada 60 keluarga, berbanding 132 orang daripada 61 keluarga pada pagi tadi, susulan penutupan PPS SK Angus yang menempatkan lima mangsa daripada satu keluarga, tengah hari tadi.
Manakala PPS SK Suai Niah, kekal menempatkan 119 mangsa daripada 57 keluarga dan PPS Dewan Bulan Sabit Merah pula masih menempatkan empat mangsa banjir daripada dua keluarga, serta empat mangsa sekeluarga yang terjejas akibat tanah runtuh.
-Bernama