
BEKENU: Ibubapa dan penjaga digesa tidak menghalang anak-anak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, sebaliknya memberi sokongan padu kepada pihak sekolah dan guru.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus, berkata kepercayaan yang diberikan oleh ibubapa kepada sekolah dan guru amat dihargai serta menjadi pemangkin kepada usaha mendidik anak-anak agar cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.
“Komuniti setempat serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan program dan pembangunan strategik sekolah. Kerjasama berterusan ini memastikan pendidikan yang disediakan kekal relevan, bermutu dan berkualiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi SK Beliau Isa 2025 di Kampung Kelulit, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menekankan bahawa kejayaan murid tidak akan tercapai tanpa kepimpinan mantap, sokongan guru-guru dan dorongan berterusan daripada keluarga.

“Pendidikan bukan sekadar pencapaian akademik, malah merangkumi pembentukan sahsiah, disiplin dan penglibatan kokurikulum yang seimbang. Setiap murid mempunyai potensi dan melalui proses pembelajaran yang mencabar, mereka mampu menunjukkan kecemerlangan jika terus dibimbing dan diberi sokongan,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan murid agar menjadikan kejayaan yang diraih sebagai inspirasi untuk terus maju serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan dengan kesabaran dan semangat juang yang tinggi.
Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Pelajaran Daerah Subis, Rahayu Deli; Guru Besar, Rosnah Gabut; Pengerusi PIBG, Samli Tinggal; Penghulu Junit; dan ketua-ketua kaum setempat.
Oleh Adum Liu